Pilih Bahasa

Kompleks Sukan Tenom akan dibaikpulih segera-Timbalan Menteri Sukan

TENOM: Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia (KBS) akan memastikan proses pembinaan baik pulih Kompleks Sukan Tenom dilaksanakan dengan segera bagi memudahkan masyarakat daerah ini, khususnya golongan belia menikmati fasiliti kompleks sukan yang baharu dan selamat.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyatakan demikian sewaktu majlis santai bersama belia anjuran Armada Bersatu Bahagian Tenom, di Hotel Perkasa di sini.

Wan Ahmad Fayshal (hadapan sekali) meninjau keadaan Kompleks Sukan Tenom. Gambar SNT/Ihsan Armada Tenom

Katanya kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin komited dalam memperkasakan pembangunan belia dalam pelbagai bidang termasuklah pembangunan sukan untuk belia di negara ini.

Menurut, Ketua Armada Bersatu Tenom, Riduan Rubin, Kompleks Sukan Tenom merupakan lokasi utama penganjuran aktiviti sukan di daerah ini termasuklah penganjuran sukan oleh pihak sekolah.

Namun keadaan kompleks sukan yang usang dan tidak selamat digunakan, telah membantutkan usaha pembangunan sukan di daerah ini.

Wan Ahmad Fayshal (tengah) mendengar penerangan mengenai keadaan Kompleks Sukan Tenom. Gambar SNT/Ihsan Armada Tenom

Armada Bersatu Tenom dalam pada itu berharap pembinaan baik pulih kompleks sukan Tenom, dapat dipercepatkan demi kesinambungan pembangunan sukan dikalangan belia.

“Tenom telah melahirkan ramai atlit kebangsaan yang mengharumkan nama negara, termasuklah Andre Anuar, atlit lompat jauh negara, yang memecahkan rekod kebangsaan di Sukan Sea Manila pada tahun lepas,” kata Riduan.

Dalam lawatan kerja itu, Wan Ahmad Fayshal telah meninjau sendiri keadaan bangunan kompleks sukan Tenom yang telah usang serta mendengar kronologi dan sejarah pembinaan kompleks sukan tersebut, yang dibina pada tahun 1980.-SabahNewsToday