Pilih Bahasa

Komposer dan penyanyi terkenal Asmin Mudin terima ugutan bunuh

Oleh Junaidi Ladjana

Asmin Mudin membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh. Gambar SNT/ Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: “Kau mau pecah muka bertaburan nyawa kau tunggu saya punya kawan cari kau”. Itu antara ugutan yang diterima Komposer dan penyanyi terkenal Asmin Mudin.

Ugutan itu diterima Asmin melalui aplikasi WhatsApp daripada seorang lelaki yang dikenalinya pada Sabtu lalu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Inanam pada keesokannya.

Asmin yang juga Pengerusi Persatuan Komposer & Pembikin Video Muzik Sabah (SCORE) berkata sebelum ini beliau ada menegur seorang lelaki yang dikenalinya kerana menjalankan perniagaan menjual ‘hard disk’ mengandungi lagu-lagu sabahan dan ciptaan beliau serta ahli-ahli persatuan SCORE secara berleluasa dan mengiklannya di media sosial.

“Sebagai Pengerusi SCORE merasa tanggungjawab untuk menegur tindakan lelaki terbabit. Lagipun banyak lagu-lagu saya dan ahli persatuan ada di dalam hard disk itu.

“Namun lelaki itu bertindak mengugut mahu membunuh saya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Asmin yang bimbang akan keselamatannya kemudian membuat laporan polis.

Menurutnya, beliau mengenali lelaki itu kerana sama-sama sebagai pemain industri muzik di Sabah.

“Saya rasa terkilan kerana rakan-rakan yang sama-sama pemain dalam industri muzik di Sabah sanggup ‘merompak’ harta rakan sendiri malah sanggup berniat mengancam untuk membunuh kepada rakan muzik sendiri.

“Sepatutnya semua pemain dalam muzik di Sabah berganding bahu memartabatkan dan mengindustrikan muzik di Sabah. Adakah ugutan membunuh ini bertujuan membunuh kerjaya muzik orang tempatan itu sendiri?.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi berkata pihaknya ada menerima laporan berkenaan dan polis sedang menjalankan siasatan.

“Suspek terbabit sudah dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya. -SabahNewsToday