Pilih Bahasa

Komulakan Upko Pensiangan kerjasama dengan Jabatan Belia dan Sukan

Oleh Chris Maskilone

PENSIANGAN: Komulakan Upko Pensiangan mengambil inisiatif jalin kerjasama dengan Jabatan Belia dan Sukan Nabawan yang menumpukan kepada pembangunan belia di Pensiangan.

Perkara ini telah dibincangkan semasa pergerakan itu membuat kunjungan hormat terhadap Pegawai Belia dan Sukan Nabawan, Madius @ Justin Ansagu di pejabatnya pada Isnin.

Alex dan rombongan sedang berbincang dengan Justin. Gambar SNT/Ihsan Komulakan Upko Pensiangan

Rombongan Komulakan Upko Pensiangan yang diketuai oleh Alex Walzico Robert berkata antara usaha mereka ialah untuk menjalinkan hubungan dua hala antara Komulakan Upko Pensiangan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar dapat bekerjasama demi membantu dan menjaga kebajikan belia khususnya di bahagian Pensiangan.

Beberapa program seperti program kepimpinan, motivasi, sukan, turun padang, CARE telah dibincangkan dan dirangka akan dimulakan seawal bulan Julai.

Usaha ini dibuat demi memotivasikan anak muda untuk lebih aktif dalam penglibatan program belia.

Komulakan Upko Pensiangan bersama Justin (tengah). Gambar SNT/Ihsan Komulakan Upko Pensiangan

“Hal ini sangat penting demi kesinambungan kepimpinan di daerah kami, malahan dengan izin Tuhan, usaha ini akan membantu mengurangkan masalah/gejala sosial yang semakin membimbangkan di daerah ini” kata Alex.

Beliau juga menggesa agar kerajaan lebih banyakkan program “turun padang” untuk melihat sendiri situasi belia terutama di bahagian pendalaman dimana banyak kekurangan dari segi kemudahan asas, kemudahan pendidikan dan akses internet antara lain.

Menurutnya, ini juga antara salah satu sebab mengapa belia Pensiangan ataupun bangsa Murut agak ketinggalan jika dibandingkan dengan suku lain.

Dalam pada itu, Justin menyambut baik jalinan kerjasama ini dan berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan suara belia Pensiangan yang diutarakan oleh Komulakan Upko Pensiangan.

Beliau akan memberikan kerjasama penuh dalam usaha ini terutamanya dalam menjaga kebajikan belia-belia pendalaman.-SabahNewsToday