Pilih Bahasa

Komuniti pedalaman sambut baik program suntikan vaksin polio percuma

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Pegawai kesihatan bertugas meletakkan tanda dakwat pada jari salah seorang murid menandakan sudah menerima suntikan vaksin Polio sempena Program Pemberian Suntikan Vaksin Polio di SK Pekan Nabawan. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

NABAWAN: Pemberian suntikan vaksin polio secara percuma disambut baik golongan ibu bapa serta warga pendidik khususnya membabitkan murid pendidikan khas di daerah ini.

Bapa murid pendidikan khas Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Nabawan, Augusline Oyan, 38, berkata beliau sebagai ibu bapa menerima baik pemberian suntikan vaksin Polio yang diberikan kepada sekolah anaknya itu.

Menetap di Kampung Bahagia A, Augusline berkata ramai penduduk tinggal di kawasan agak jauh daripada pekan selain tidak memiliki kenderaan sendiri sekaligus menyukarkan untuk ke klinik klinik kesihatan bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan mahupun suntikan vaksin.

“Usaha pihak jabatan kesihatan pergi ke sekolah di daerah ini adalah tindakan terbaik kerana ia dapat meringankan beban ibu bapa seperti saya yang memiliki anak berkeperluan khas.

“Sebagai bapa, pastinya saya mahukan yang terbaik buat anak-anak samada berkaitan pendidikan serta kesihatan mereka. Saya berharap program seumpama ini diteruskan pada masa akan datang demi kebaikan masyarakat setempat,” kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Augusline menenangkan anaknya ketika mendapatkan pemeriksaan ketika Program Pemberian Suntikan Vaksin Polio di SK Pekan Nabawan. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Guru Penyelaras Program Pendidikan Khas Intergrasi SK Pekan Nabawan, Siti Nur Mastura Maznaan berkata penganjuran program kesihatan berkenaan dilihat memberi peluang kepada ibu bapa kurang berkemampuan untuk mendapatkan vaksin Polio bagi anak masing-masing terutama murid pendidikan khas.

Siti Nur Mastura berkata sukar untuk mengetahui samaada seseorang murid pedalaman sudah mendapatkan suntikan vaksin Polio ekoran pelbagai faktor namun apabila jabatan kesihatan mengambil inisiatif datang ke sekolah, ia mampu memastikan semua murid memperoleh suntikan sepatutnya.

“Kita juga sering berkomukasi dengan penjaga murid-murid istimewa agar mereka tidak mengabaikan faktor kesihatan dan kebersihan supaya tidak mudah terkena jangkitan penyakit.

“Murid pendidikan khas ini memerlukan lebih penjagaan disebabkan kebanyakkan mereka tidak pandai menguruskan diri sendiri. Program hari ini secara tidak langsung dapat memberi pendedahan kepada ibu bapa terutama perkara berkaitan kesihatan,” katanya.

Jururawat melaksanakan pemeriksaan kesihatan ke atas seorang murid SK Pekan Nabawan pada Program Pemberian Suntikan Vaksin Polio di sekolah berkenaan. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Setakat ini, seramai 2,358 murid sekolah berusia antara enam hingga 12 tahun sudah menerima suntikan vaksin berkenaan sebagai langkah pencegahan penyebaran penyakit terbabit.

Suntikan dos pertama berkenaan mula dijalankan pada 3 Mac lalu dan dijangka berakhir pada 13 Mac ini.

Sementara itu, Pegawai Perubatan dan Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Nabawan, Dr Nur Ain Adam berkata pihaknya mensasarkan hampir 5,000 murid sekolah sekitar daerah Nabawan bakal menerima suntikan vaksin terbabit secara percuma.

Nur Ain berkata secara keseluruhan semua murid akan menerima empat dos suntikan vaksin iaitu dua dos vaksin Bivalent dengan jarak satu bulan antara dos pertama dan kedua.

Murid pendidik khas SK Pekan Nabawan menunjukkan jari terdapat dakwat sebagai simbol sudah menerima suntikan vaksin polio. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

“Dua lagi suntikan adalah vaksin Monovalent membabitkan jarak 10 hari bagi   dos pertama dan dos seterusnya.

“Bagaimanapun, suntikan ini hanya diberikan kepada kanak-kanak warganegara dan bukan warganegara yang berada di negeri ini sahaja serta didapati di semua klinik kerajaan.

“Sekiranya ada kanak-kanak yang belum mendapatkan vaksin ini, ibu bapa tau penjaga boleh pergi ke klinik kesihatan kerajaan berhampiran sepanjang program ini berlangsung,” katanya ketika ditemui ketika Program Pemberian Suntikan Vaksin Polio di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Nabawan di sini, hari ini.

Seramai 854 murid sekolah SK Pekan Nabawan menerima suntikan vaksin berkenaan selain 52 kanak-kanak daripada beberapa sekolah yang terletak di dalam Ladang United Malacca Berhad serta 30 orang murid di tadika swasta. – SabahNewsToday