Pilih Bahasa

KONSEP ‘KAMPUNG ANGKAT’ MAMPU BANTERAS JENAYAH SETEMPAT : HABIBI

Oleh Mohd Adam Arinin

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji memeriksa barisan Kawalan Kehormatan pada Majlis Perhimpunan Bulanan IPD Kota Kinabalu, pagi tadi. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Polis Kota Kinabalu akan melaksanakan konsep ‘Kampung Angkat’ di beberapa lagi buah kampung yang dikenalpasti mempunyai masalah jenayah setempat.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata pelaksanaan konsep ‘Kampung Angkat’ ketika ini hanya dibuat di dua buah kampung daripada 132 buah kampung di daerah ini.

“Pihak polis IPD Kota Kinabalu pada ketika ini hanya melaksanakan pendekatan ini pada dua buah kampung iaitu Kampung Lokub dan Kampung Pulau Gaya. Dan kita akan memperbanyakkan lagi konsep ini pada tahun depan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (tengah) pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan IPD Kota Kinabalu, pagi tadi. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Dua kampung ini dipilih atas pemerhatian daripada pihak polis berkaitan aktiviti jenayah seperti pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang banyak dilaporkan oleh masyarakat setempat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan IPD Kota Kinabalu di sini, pagi tadi.

Jelas Habibi, konsep ‘Kampung Angkat’ ini adalah perlu bagi membendung masalah jenayah di sesuatu kawasan kampung yang dikenalpasti.

“Kita akan melantik pegawai polis dan penduduk kampung untuk mengenalpasti masalah dan jenayah yang berlaku.

“Ini dapat memberikan maklumbalas dan seterusnya melaksanakan beberapa siri operasi bersepadu untuk menangkap penduduk yang terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah” katanya.

Menurut Habibi, selain daripada itu beberapa aktiviti riadah dan sesi dialog juga akan diberikan kepada penduduk kampung sebagai salah satu langkah untuk mencegah perlakuan jenayah.

“Bagi tahun 2019, pihak IPD Kota Kinabalu juga akan menumpukan beberapa buah lagi kawasan kampung untuk dijadikan ‘Kampung Angkat’ dan kita juga akan merancang untuk ‘Taman Angkat’ yang dikhaskan untuk taman-taman perumahan yang dikenalpasti terdapat aktiviti jenayah,” tambahnya.

Dalam pada itu, pihak polis daerah ini juga telah mencapai sasaran kecemerlangan sepanjang tahun 2018.

Setakat Disember 2018, pihak IPD Kota Kinabalu telah berjaya menurunkan indeks jenayah sebanyak 100 kes yang membawa kepada 6.57 peratus daripada tahun lalu sebanyak 1,522 kes. –SabahNewsToday