Pilih Bahasa

Kontrak PDP projek Lebuh Raya Pan Borneo ditamatkan hujung September ini

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Baru Bian (tengah) melancarkan Sistem Aplikasi Papan Muka Pan Borneo di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata kerajaan hanya akan membayar syarikat PDP projek Mega Lebuh Raya Pan Borneo berdasarkan kemajuan atau setakat mana perkembangan projek tersebut sehingga bulan September ini.

“Saya fikir kita telah mengumumkan bahawa projek Pan Borneo Sabah telah diambil alih oleh Kementerian Kerja Raya daripada PDP, namun dalam masa sama kita masih meneliti berapakah jumlah bayaran yang perlu diberikan kepada PDP berdasarkan kontrak sebelum ini.

“Jadi segala urusan berkaitan PDP serta pengambil alihan sepenuhnya oleh kementerian adalah sehingga akhir September ini iaitu tamat tempoh notis yang diberikan kepada PDP,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai penamatan kontrak PDP bagi melaksanakan kerja pembinaan laluan Pan Borneo Sabah yang bernilai RM29 billion pada akhir September depan serta perkembangan terbaharu projek lebuh raya itu.

Terdahulu beliau melancarkan Sistem Aplikasi Papan Muka Pan Borneo yang dibina oleh sebuah syarikat tempatan iaitu Pembinaan Kumpulan Kekal Mewah.

Baru Bian. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Baru berkata sebelum ini kerajaan negeri memutuskan untuk membantu kementeriannya menyelia pelaksanaan kerja-kerja pembinaan lebuh raya Pan Borneo ekoran penamatan model PDP bagi projek tersebut.

Ditanya sama ada tawaran bagi baki 20 pakej projek itu akan dibuat dalam masa terdekat ini, beliau menjelaskan kementeriannya memutuskan untuk memasukkan bajet projek tersebut dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Walaupun kerajaan negeri ada memohon agar Kementerian Kewangan menyenaraikan baki pakej itu dalam RMK-11, ia tidak dapat dilakukan disebabkan kekangan kewangan yang dihadapi negara, justeru ia akan masukkan dalam RMK-12,” ujarnya. – SabahNewsToday