Pilih Bahasa

Kontraktor O&G Sabah digesa tingkat keupayaan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kontraktor minyak dan gas (O&G) tempatan di negeri ini digesa meningkatkan keupayaan operasi masing-masing untuk memastikan mereka kekal bersaing dalam industri tersebut.

Ketua Menteri, Datuk Mohd Shafie Apdal berkata ini kerana peluang dan ruang sentiasa diberikan kepada syarikat-syarikat O&G tempatan untuk melakukan kerja-kerja dalam bidang itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menerima cenderahati daripada Pengerusi Petronas Datuk Ahmad Nizam Salleh selepas hadir pada Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas 2019 di Grand Ballroom, Hotel Marriot, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Saya telah bercakap dengan pihak atasan Petronas mengenai perkara ini supaya lebih ramai kontraktor tempatan di Sabah diberikan peluang menjalankan operasi minyak dan gas.

“Sebelum ini pun memang ada kontraktor tempatan yang telah mendapat peluang tersebut tetapi dalam masa sama mereka perlu meningkatkan keupayaan agar dapat bersaing dengan syarikat luar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas 2019 di sini hari ini.

Mohd Shafie diminta mengulas saranan Ketua Pemuda Upko Felix Saang agar syarikat petroluem negara, Petronas memberikan lebih banyak peluang kepada kontraktor O&G Sabah.

Baru-baru ini Felix berkata kontraktor Sabah seolah-olah hanya diberikan kerja-kerja kecil berbanding syarikat besar dalam kerja O&G.

Menurut Felix syarikat tempatan harus diberikan keutamaan dan sokongan sehingga mereka mampu bersaing dengan syarikat luar dari Semenanjung dan Sarawak.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan Petronas untuk menjalankan operasi carigali minyak di Sabah.

“Apa yang penting kepada kita bukan hanya kekayaan dapat diperolehi oleh Petronas, tapi Sabah juga sudah pasti mendapat imbuhannya.

“Sehubungan itu kerajaan negeri akan bagi kerjasama dengan Petronas sebaik mungkin untuk operasi carigali itu,” katanya. – SabahNewsToday