Pilih Bahasa

KONTRAKTOR PROJEK TERGENDALA SKYBRIDGE KOTA KINABALU MINTA CAMPUR TANGAN KERAJAAN

Oleh Alfred Petrus

Kandrix (kiri) memberi penjelasan kepada Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin mengenai projek Sky Bridge Kota Kinabalu semasa lawatan beliau hari ini. Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Petrofiq Sdn Bhd, kontraktor projek Sky Bridge Kota Kinabalu, mahu kerajaan negeri dan pusat campur tangan bagi menyelesaikan permasalahan pembayaran pemaju yang telah mengakibatkan projek itu tergendala sejak April lalu.

Pengarah Urusan Petrofiq, Kandrix Ng C.S berkata, projek Sky Bridge yang menghubungkan pusat membeli-belah Oceanus, Centre Point, Waterfront dan Asia City sudahpun siap kira-kira 95 peratus.

Projek bernilai RM31.5 juta itu dikawal selia oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) yang terletak di bawah Kementerian Kewangan Persekutuan.

Namun ianya terhenti kerana pemaju Sunsea Development Sdn Bhd tidak membuat pembayaran perkembangan projek bulanan sejak April lalu, katanya kepada pemberita semasa mengiringi lawatan Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin meninjau projek tersebut.

Kandrix berkata, perjanjian pembiayaan projek berkenaan telah ditamatkan oleh UKAS kerana syarikat pemaju gagal memenuhi syarat perjanjian dan ini menyebabkan kerja-kerja akhir tidak dapat disempurnakan oleh kontraktor.

“UKAS hanya membayar Sunsea Development Sdn Bhd selepas projek ini siap sepenuhnya dan mengikut perjanjian pembiayaan projek (namun) pemaju seharusnya membayar setiap bulan kepada kontraktor untuk menyempurnakan kerja-kerja berkenaan.

“Setakat ini kami hanya menerima kira-kira RM12 juta daripada RM31.5 juta dan kerja-kerja pembinaan adalah antara 92 peratus hingga 95 peratus siap ketika ini.

“Jika pembayaran dibuat, kami hanya perlu masa selama satu bulan untuk menyiapkan semuanya dan penyerahan projek ini boleh dilakukan kepada DBKK,” jelasnya.

Tambahnya, projek Sky Bridge itu melibatkan pembinaan 10 bahagian jambatan yang bersambung dengan dua jambatan berhawa dingin dengan 20 kiosk di dalam, empat tangga biasa dan eskalator, 531 meter pejalan kaki berbumbung, penambahbaikan jalan raya sepanjang 640 meter, dua buah lampu isyarat, pemasangan lampu jalan, dua buah lif Orang Kelainan Upaya (OKU) dan pembinaan lanskap.

Kandrix berkata, jika projek berkenaan terus terbengkalai, ia mampu membahayakan nyawa orang awam yang menggunakan jalan kawasan Api-Api Centre, Jalan Dua Puluh dan Tun Fuad Stephens.

“Sekarang ini kami meminta kerajaan atau Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk mencari jalan penyelesaian kerana Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Kementerian Kewangan.

“Jadi kami mahu perjanjian pembiayaan projek ini diteruskan semula untuk kerja-kerja terakhir,” katanya.

Kandrix turut menyeru kerajaan untuk meneliti semua bekenaan isu tersebut dan memberikan perjanjian pembiayaan projek terus kepada kontraktor dan bukannya pemaju.

Sementara itu, Chan ketika diminta mengulas mengenai isu ini berkata, beliau telah berjumpa dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng minggu lalu dan menggesa agar beliau dapat menyelesaikan permasalahan berkenaan. –SabahNewsToday