Pilih Bahasa

Kopeks catat untung bersih RM1.48 juta tahun lalu

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Koperasi Pekerja-pekerja Kerajaan Sabah Berhad (Kopeks) mencatat peningkatan dalam untung bersih tahun kewangan sebanyak RM1.48 juta pada 2018.

Maznah (tiga kiri) menyampaikan sumbangan tabung khairat kematian kepada para anggota Kopeks yang kehilangan ahli keluarga mereka. Gambar SNT/Alfred Petrus

Pengerusinya, Datuk Maznah Abdul Ghani berkata melalui jumlah berkenaan memperlihatkan peningkatan keuntungan sebanyak RM224,000 berbanding jumlah kewangan RM1.26 juta pada tahun sebelumnya.

Tambahnya meskipun ekonomi negara kurang memberangsangkan pada 2018, namun perniagaan koperasi tersebut tetap dalam kedudukan yang baik.

“Tahun lepas, Kopeks mencatat pengeluaran pinjaman sebanyak RM17.72 juta termasuk pengeluaran mikro Ar-Rahnu.

“Manakala, jumlah perolehan 2018 pula berjumlah RM12.74 juta berbanding RM13.13 juta pada tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Kopeks Ke-44, di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas, hari ini.

Maznah berkata lanjutan keuntungan perniagaan yang berterusan sejak 2009 sehingga 2018, Kopeks mencatatkan keuntungan terkumpul keseluruhan sebanyak RM27.1 juta.

Menurutnya daripada keuntungan tersebut, maka pada tahun lalu, Kopeks berjaya menghapuskan kerugian terkumpul sebanyak RM24 juta yang dialami sebelum 2005.

“Dalam pada itu, atas prestasi dan rekod tadbir urus yang terpuji, pada 2013, Kopeks tersenarai dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik.

“Pada tahun ini, Kopeks sekali lagi tersenarai di tangga ke-38 Indeks 100 Koperasi Terbaik daripada lebih 14,000 koperasi seluruh negara,” jelasnya.

Sementara itu, katanya disebabkan persaingan yang semakin ketara dalam sektor kewangan, maka gerakan koperasi di bawah teraju Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) merumuskan pelan pemerkasaan koperasi untuk bersama-sama mencapai sasaran Dasar Koperasi Negara.

Tambahnya di bawah Pelan Pembangunan Sektor Perkhidmatan Kewangan Koperasi 2016-2020, barisan Lembaga Kopeks mengenal pasti sektor berimpak tinggi yang wajar diceburi untuk meningkatkan perniagaan dan pendapatan yang menyediakan pusat aktiviti serta perniagaan para anggota. -SabahNewsToday