Pilih Bahasa

KOPERASI DITUBUHKAN BANTU BEKAS PELAJAR SMK INANAM: SUHAIMI

Oleh Zakaria Damit

KOTA KINABALU: Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Inanam merancang akan menubuhkan sebuah badan koperasi bagi membantu sekolah serta bekas pelajarnya.

Pengerusi Penaja Koperasi Bekas Pelajar SMK Inanam Suhaimi Matsin berkata cadangan penubuhan ini sedang giat dijalankan sekaligus akan dapat diwujudkan dalam tempoh terdekat.

Suhaimi (berdiri satu dari kanan) bersama badan penaja Kelab Bekas Pelajar SMK Inanam. Gambar SNT/Zakaria Damit

Katanya, kesempatan ruang serta peluang yang ada akan digunakan sebaik mungkin untuk memastikan penubuhan ini akan dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

“Kita yakin cadangan ini akan menjadi kenyataan memandangkan rata-rata bekas pelajar sekolah ini mempunyai latar belakang kerjaya yang mantap.

“Ini merupakan satu peluang terbaik dalam kami berganding bahu membantu bekas rakan sekolah untuk memastikan ekonomi mereka dapat dipertingkatkan sekaligus dapat menyumbang semula kepada pihak sekolah lama,” katanya.

Suhaimi berkata, satu jawatankuasa sudah dibentuk untuk membolehkan rangka penubuhan ini dapat menarik minat bekas pelajar SMK Inanam untuk menyertainya.

“Kita mengalu-alukan penyertaan daripada bekas pelajar untuk menyertai badan koperasi, bagi memastikan segala idea serta pengalaman dapat disatukan dalam penubuhan itu nanti,” katanya.

Dalam perkembangan sama Suhaimi berkata pihak badan penaja ini akan mengadakan pertemuan dengan pihak sekolah untuk memastikan cadangan ini mendapat sokongan daripada pihak sekolah.

“Ini adalah satu usaha berterusan daripada pihak bekas pelajar sekolah kami untuk kembali menyumbang meningkatkan ekonomi bekas rakan sekolah kami sekaligus membantu semula kepada sekolah lama mereka,” katanya.-SabahNewsToday