Pilih Bahasa

Ko-Best bantu tingkat ekonomi ahli koperasi: Lajim

Lajim (tengah) bersama ahli jawatankuasa penaja Ko-Best Sabah. – Gambar SNT/Ihsan Ko-Best Sabah

KOTA KINABALU: Koperasi Pribumi Bersatu Malaysia Bersatu  (Ko-Best) yang diilhamkan oleh Parti Primbumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan melebarkan cawangan ke Sabah.

Naib Pengerusi Ko-Best, Datuk Lajim Ukin berkata matlamat penubuhan koperasi tersebut adalah untuk membantu meningkatkan ekonomi ahli khususnya di negeri ini.

” Di peringkat Pusat kita telah melancarkan penubuhan koperasi ini dan di Sabah kita baru saja membentuk jawatankuasa penajanya dan akan digerakkan ke seluruh bahagian (Bersatu) di negeri ini” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat pertama pembentukan jawatankuasa penaja koperasi tersebut di ibu pejabat (Bersatu) Alam Mesra, di sini baru baru ini.

Menurut Lajim yang juga Pengerusi Penaja Ko-Best Sabah, koperasi berkenaan diyakini dapat berfungis sebagai platform terbaik bagi menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomi ahlinya.

Katanya Ko-Best mempunyai tiga pelan kemakmuran bersama bagi keuntungan jangka pendek, sederhana dan panjang dalam tempoh 2019 hingga 2050.

“Fungsi utama Ko-Best adalah perkhidmatan dengan menumpukan ketika sektor utama seperti agro, teknologi, peruncitan, yayasan dan pembangunan.

“Kita akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk koperasi lain, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat dalam serta luar negara” katanya 

Menurut Lajim  yang juga Pengarah Strategi dan Pilihan Raya Bersatu Sabah, koperasi itu juga akan membantu anggotanya yang ingin menjadi usahawan.

Tambah Lajim koperasi berkenaan menyasarkan pengumpulan modal melalui beberapa cara seperti yuran keahlian RM100 dan pelaburan saham ahli iaitu sebanyak RM250.

“Kita mensasarkan kira-kira 50,000 ahli menyertai koperasi ini dan jika berjaya menerima penyertaan seramai ahli itu koperasi bakal memperoleh modal sebanyak RM17.5 juta,” katanya.

Lajim berkata  jawatankuasa  koeprasi tersebut akan bergerak ke seluruh bahagian Bersatu di negeri ini bagi memberikan penjelasan lanjut mengenai koperasi ini. – SabahNewsToday