Pilih Bahasa

Koperasi Petani Desa bantu golongan petani

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Aidi (tiga dari kanan) mengiringi Rina (tengah) merasmikan Pusat Komuniti Masyarakat Daerah Kecil Paitan. – Gambar SNT/Ihsan Wira Warisan

BELURAN: Penubuhan Koperasi Petani Desa Berhad mampu menyumbang kepada ekonomi penduduk di daerah ini terutama golongan petani untuk menambah pendapatan.

Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar berkata projek koperasi itu dapat menjadi medium memperkasa ekonomi para petani dengan mempelbagaikan sumber mata pencarian mereka.

Aidi Moktar- Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Kita difahamkan seramai 1,200 orang ahli Koperasi Petani Desa yang mana meaoritinya terdiri daripada penduduk Paitan.

“Dengan anggota koperasi dan kerjasama strategik bersama pihak swasta, agensi kerajaan dan petani di Paitan, saya berharap agar koperasi ini menjadi satu projek yang bakal memperkasa ekonomi petani di daerah kecil ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian koperasi tersebut kelmarin.

Terdahulu Aidi bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun merasmikan majlis penyerahan Pusat Komuniti Daerah Kecil Paitan.

Selaku `bapa angkat” daerah kecil Paitan, Aidi berkata usaha murni Yayasan Afat Rahman yang menyerahkan Pusat Komuniti kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dapat mewujudkan pejabat perhubungan kementerian itu dengan daerah berkenaan.

Aidi (kanan) menerima borang keahlian koperasi sambil disaksikan Rina (dua dari kanan) sempena perasmian Pusat Komuniti Masyarakat Daerah Kecil Paitan. – Gambar SNT/Ihsan Wira Warisan

Katanya langkah itu bagi memudahkan pelan pembangunan diperingkat Persekutuaan secara langsung ke kawasan luar bandar khususnya di Paitan.

“Pusat komuniti itu juga boleh dijadikan pusat pengumpulan produk pertanian yang terdapat di daerah Paitan.

“Ia boleh digunakan untuk penduduk menjana ekonomi keluarga masing-masing dan menjadi tempat memupuk perpaduan dan semangat kejiranan, di samping melahirkan masyarakat yang produktif dalam menyumbang kepada pembangunan Sabah,” ujarnya. – SabahNewsToday