Pilih Bahasa

Koperasi Teraju Tenom bantu usahawan belia pedalaman

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Jamawi (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada wakil Koperasi Teraju Tenom Berhad pada majlis itu. – Gambar SNT / Ehsan DUN Kemabong

TENOM: Golongan belia di pedalaman khususnya di Tenom dan Kemabong digesa mengambil peluang dengan penubuhan Koperasi Teraju Tenom Berhad untuk menjana ekonomi dan menambah ilmu keusahawanan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Jamawi Jaafar berkata koperasi itu telah berjaya mengumpul lebih daripada 50 ahli yang terdiri dalam kalangan belia di Tenom dan daerah kecil Kemabong.

Menurut Jamawi ilmu keusahawanan yang dipelajari semasa bergiat dalam persatuan belia dapat menjadikan mereka usahawan yang lebih berdaya maju.

“Penubuhan koperasi ini diharapkan dapat memacu bidang keusahawanan dan pelaburan yang dapat memberi manfaat kepada ahli (belia) menerusi peluang ekonomi,” katanya ketika berucap merasmikan penubuhan Koperasi Teraju Tenom Berhad.

Jamawi (empat dari kanan( memotong riben sebagai simbol perasmian koperasi tersebut. – Gambar SNT / Ehsan DUN Kemabong

Pada majlis tersebut Jamawi menyerahkan bantuan sebanyak RM10,000 sebagai modal kepada koperasi itu memulakan perniagaan secara dalam talian.

Dalam pada itu beliau berkata penglibatan belia dalam pelbagai bidang perniagaan di daerah ini mampu menggerakkan koperasi di kawasan tersebut.

Menurut beliau lagi persatuan belia perlu memanfaatkan berapa bantuan kerajaan seperti Skim Tabung Ekonomi Belia (STEB) yang diwujudkan oleh kerajaan untuk membantu belia melibatkan diri secara aktif dalam pelaburan dan perniagaan.

“Kita yakin dengan kepakaran pengurusan persatuan belia, pinjaman mahupun bantuan dari institusi institusi tertentu boleh mewujudkan pelbagai bentuk perniagaan dalam satu bumbung melalui koperasi ini,” ujar Jamawi.

Jamawi berkata penubuhan koperasi itu juga dapat mengurangkan pergantungan persatuan belia kepada peruntukan kerajaan. – SabahNewsToday