Pilih Bahasa

KOTA KINABALU JUARA HOKI MSSS

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kontinjen Hoki Lelaki 18 tahun ke bawah Kota Kinabalu dinobatkan sebagai johan dalam Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah-sekolah Sabah (MSSS) menewaskan Keningau dalam perlawanan akhir penuh aksi petang tadi di sini.

Pasukan Kota Kinabalu terpaksa berhempas pulas setelah ketinggalan 2-0 untuk mengikat Keningau dengan jaringan 2-2 sehingga tamat masa perlawanan.

Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Umin Sadi (belakang, lapan kanan) berkesempatan menyampaikan hadiah kepada pemenang dan merakamkan gambar kenangan bersama kontinjen Hoki 18 tahun ke bawah Kota Kinabalu. Gambar SNT/Alfred Petrus

Pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan berjaya menunjukkan kehebatan mempertahankankan gawang gol masing-masing tanpa bolos.

Namun, pada separuh masa kedua, Keningau berjaya memecahkan gawang gol Kota Kinabalu melalui jaringan Andrywalfian Jeffrynus pada minit ke-42.

Pasukan Keningau kemudian menggandakan jaringan melalui Mohammad Fazly Adwa dalam minit ke-53 untuk mendahului 2-0.

Walaupun Keningau berada di depan, pasukan Kota Kinabalu terus mengasak dan berjaya mengurangkan jurang gol kepada 2-1 melalui Mohammad Izzairie Dali dalam masa kecederaan.

Selepas itu pasukan Keningau dikejutkan pula oleh Mohd Aleef Sulaiman yang berjaya menjaringkan gol penyamaan Kota Kinabalu hanya tinggal beberapa saat sebelum wisel penamat dibunyikan.

Padang Disoturf Hoki Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS) bergegar apabila pasukan Kota Kinabalu memenangi ‘shoot-out’ penalti 3-2.

Sementara itu, kontinjen Tawau mendapat tempat ketiga dan tempat keempat disandang oleh kontinjen Kota Belud. -SabahNewsToday