Pilih Bahasa

Kota Kinabalu menang dua emas Golf; Kalabakan curi tumpuan menang pingat emas pertama

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KENINGAU: Skuad wanita Kota Kinabalu mengungguli acara golf apabila menuai dua pingat emas dalam kategori individu menerusi Nabila Alifuddin dan berpasukan dalam kejohanan Sukan Sabah (Saga) XI.

Emas bagi kategori individu lelaki pula dimenangi atlet Putatan iaitu Mohd Zaeem Mohd Yasin manakala skuad Tenom menggondol emas bagi kategori berpasukan lelaki.

Atlet Kota Kinabalu yang meraih emas kategori individu dan berpasukan wanita acara golf Saga XI. – Gambar SNT/Ihsan Penerangan

Pasukan Kota Kinabalu berjaya mengutip dua emas, tiga perak dan satu gangsa daripada 12 pingat yang dipertandingkan dalam acara golf yang di Keningau Golf & Country Club.

Putatan pula meraih tiga pingat iaitu masing-masing satu emas, perak dan gangsa.

Atlet Putatan, Mohd Zaeem Mohd Yasin (tengah) yang memenangi emas individu lelaki golf. – Gambar SNT/Ihsan Penerangan

Pingat disampaikan kepada kesemua pemenang oleh Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, Arunarasih Taib dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Sabah, Mohd Saufi Mohd Ibrahim.

Sementara itu, Kalabakan yang menyertai Saga buat kali pertama mencuri tumpuan apabila meraih emas dalam acara pencak silat kategori ganda (putri) setelah mencatat 547 markah.

Atlet Tenom (depan) meraih emas acara berpasukan lelaki golf menunjukkan pingat yang dimenangi pada acara penyampaian hadiah di Keningau Golf & Country Club. – Gambar SNT/Ihsan Penerangan

Gandingan Siti Nuraisyah Sherzaman dan Nur Ain Azrina Azlan berjaya menewaskan atlet Kota Kinabalu (Nabila Said/Nur Wajiah Amrah Noradi) dan Lahad Datu (Nur Syahidah Siacho/Nurainnatul Syafiqah Dahlan) masing-masing memenangi perak dan gangsa.

Dalam acara 200 meter sprint cycling bagi kategori lelaki dan perempuan pula pingat emas dimenangi oleh atlet Kota Marudu. – SabahNewsToday