Pilih Bahasa

Kota Kinabalu rangkul emas hoki lelaki, Keningau juara wanita

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KENINGAU: Pasukan Kota Kinabalu menjuarai hoki kategori lelaki sekaligus meraih emas selepas menewaskan tuan rumah, Keningau 4-2 dalam perlawanan akhir di padang hoki Kompleks Sukan Keningau di sini pagi tadi.

Kesemua jaringan pasukan pelawat dihasilkan pada babak pertama perlawanan bermula hasil pukulan sudut pada minit 26 yang disempurnakan oleh Morris Ramilan.

Jin Zhe (tengah) bersama pasukan hoki lelaki Kota Kinabalu meraikan kejayaan mereka meraih emas Saga IX. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

Kota Kinabalu terus menggandakan jaringan lima minit kemudian menerusi Chyreal Harvie Ahinin dan tiga minit berikutanya anak buah Dedi Saputra itu menambah gol ketiga mereka yang dihasilkan oleh Mohamad Syafiq.

Jaringan pertama pasukan Kota Kinabalu adalah menerusi Morris Ramilan pada minit 26.

Tanpa mahu menyerah kalah, Keningau bangkit melakukan serangan bertubi-tubi dan akhirnya pada minit ke 36 Jayson Jainol menghasilkan gol pertama pasukannya diikuti gol kedua dicipta oleh Cristoper Sikta pada m-41.

Memasuki babak kedua perlawanan Kota Kinabalu mula mengatur gerakan semula dan hasilnya pada m-48 Nasrul Syahkhir Sadikul melebarkan jaringan pasukan itu dengan gol keempat mereka.

Pasukan hoki wanita Keningau meraikan kejayaan mereka meraih emas Saga IX. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

Kedudukan 4-2 di antara Kota Kinabalu dan Keningau kekal hingga tamat perlawanan. Sementara itu gangsa diraih pasukan Tenom yang menewaskan Kota Belud, semalam.

Dalam kategori wanita pula, Keningau muncul juara mengalahkan Tawau 1-0 manakala gangsa menjadi milik Tenom yang menewaskan Kudat.

Kesemua pingat disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe. – SabahNewsToday