Pilih Bahasa

Kota Marudu bolot emas pertama Saga IX acara basikal lelaki, wanita

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KENINGAU: Pingat emas pertama Kejohanan Sukan Sabah (Saga) IX diraih oleh atlet Kota Marudu apabila memenangi acara berbasikal 200 meter pecut yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, Keningau petang tadi.

Lee Jun mewakili Kota Marudu memenangi emas pertama Saga IX dalam acara pecut berbasikal 200m pada Sabtu. Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Dua emas yang diraih itu disumbangkan oleh atlet bagi kategori lelaki dan wanita kontinjen daerah berkenaan.

Kota Marudu yang diwakili Chika Cherryca Chia meraih emas setelah memenangi perlumbaan akhir kategori wanita bertemu Nur Armirah Syamsiah Jafrin.

Chika Cherryca mencatat masa perlumbaan 00:16,302 saat manakala Nur Armirah pula 00:19,763s.

Kota Marudu mendapat emas kedua melalui acara pecut berbasikal 200m bagi kategori Wanita. Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Kehebatan atlet Kota Marudu diteruskan dalam kategori lelaki menerusi kemenangan Lee Jun yang menewaskan Steven Lee dari Tawau dengan catatan masa 00;13,555s.

Sementara itu gangsa bagi kedua-dua kategori itu diraih Dayang Ina Shazlyana Suhaimi dari Beaufort (00:18,946) dan Jonard Ong Chee Wei yang mewakili Kota Kinabalu dengan masa 00:15,863s. – SabahNewsToday