Pilih Bahasa

KPDNHEP Sabah rekod 34 kes sepanjang skim kawalan harga Tahun Baharu Cina

KOTA KINABALU, 8 Feb (Bernama) — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Sabah merekodkan 34 kes pencabulan undang-undang sepanjang 10 hari pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina yang berakhir hari ini.

Pengarahnya Georgie Abas berkata kes terbabit dikesan hasil pemeriksaan ke atas 2,332 premis di seluruh negeri sepanjang tempoh itu.

Gambar Fail SNT menunjukkan Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas (kanan) mengiringi Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Stephen Wong (dua kanan) melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2019 baru-baru ini. Gambar SNT/Alfred Petrus

Kes merangkumi rampasan bernilai RM3,167 dan kompaun berjumlah RM4,550, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 60 premis telah diperiksa menerusi Operasi Bersama Cawangan KPDNHEP Sabah di tiga daerah iaitu Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang.

Operasi dua hari sehingga hari ini yang turut melibatkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah itu menyaksikan 17 kes dikesan dengan nilai rampasan RM4,548 dan kompaun berjumlah RM2,750, katanya.

Katanya selain operasi pemeriksaan premis, satu taklimat perundangan mengenai Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 turut diadakan bagi 15 pengusaha restoran India Muslim di tiga daerah itu.

Susulan taklimat itu, pemeriksaan dijalankan ke atas lima premis restoran India yang beroperasi di Sipitang dan pemantauan mendapati kesemua pengusaha terbabit mematuhi peraturan yang ditetapkan, katanya.

— BERNAMA