Pilih Bahasa

KPDNHEP Sandakan lupus barang rampasan bernilai lebih RM23,000

SANDAKAN, 10 Mac — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal pengguna (KPDNHEP) cawangan Sandakan, melupuskan 1,855 barang rampasan bernilai RM23,278.40, hari ini.

Ketua KPDNHEP cawangan Sandakan Mohamad Hashim berkata barang rampasan itu, disita dari lima premis di sekitar Sandakan tahun lepas, melibatkan kompaun keseluruhan RM15,000.

“Barang yang dilupuskan membabitkan 354 unit cakera optik seperti cakera video digital (DVD), cakera padat video (VCD) dan cakera padat (CD). Selebihnya, 1,501 unit barang tiruan seperti beg, dompet, kasut, cermin mata dan jam tangan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Mohamad juga berkata, KPDNHEP Sandakan yang telah menyelesaikan 88 kes pelbagai kesalahan membabitkan nilai rampasan RM58,532.19 sejak Januari tahun ini, akan melancarkan Operasi Jeriiji mulai esok bagi mengekang penjualan barangan tiruan secara berleluasa di Sandakan.

— BERNAMA