Pilih Bahasa

KPDNHEP tamatkan lesen jual tong LPG jika terbabit kes seludup

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menarik lesen perniagaan menjual tong gas petroleum cecair (LPG) jika didapati peniaga itu terbabit dalam aktiviti penyeludupan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata tindakan tegas ini akan dibuat bagi mengekang kes seludup tong LPG yang direkodkan paling tinggi berlaku di daerah ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman (dua dari kiri) bersama Komander PPM Malaysia, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat (tiga dari kiri) menjalankan tinjauan harga di Pasar Besar Tawau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Kita bagi lesen kepada mereka untuk berniaga jadi mereka kena jujur. Jika mereka menjual tong gas, ia mestilah dijual kepada rakyat Malaysia sahaja dengan harga yang ditetapkan termasuk kos (pengangkutan menaiki bot ke Pulau Sebatik).

“Jika kita dapati penyelewengan itu dibuat oleh pemegang lesen berkenaan, kita akan ambil tindakan antaranya membatalkan lesen perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan ke Pasar Besar Tawau bersama Pasukan Polis Marin (PPM), di sini, hari ini.

Jelas beliau pihak KPDNHEP juga akan bekerjasama dengan Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebatik dalam merangka satu kerja bagi penduduk Sebatik yang berhadapan masalah harga tong LPG yang mahal berbanding di tanah besar Tawau.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman (tengah) bersama Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali (kiri) melihat kandungan bahan-bahan biskut coklat yang dijual salah seorang peniaga di Pasar Besar Tawau. Gambar SNT /Nasrawati Syarifuddin

“Selama ini penduduk di kawasan Sebatik mendapat harga tong LPG yang sangat mahal berikutan beberapa kos yang perlu diambil kira namun kita sedang rangka perkara yang boleh turunkan harga untuk rakyat Malaysia.

“Gas yang tidak bersubsidi berwarna ungu akan dijual kepada individu yang bukan warganegara Malaysia dan sudah diperkenalkan pada Jun baru-baru ini manakala gas berwarna kuning dan hijau hanya dijual kepada rakyat Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu, Komander PPM Malaysia, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata hasil lawatan kerja selama dua hari bermula semalam menunjukkan banyak isu-isu yang sudah dibincangkan dan dicari jalan penyelesaiannya termasuk kes penyeludupan tong LPG.

Katanya anggota dan pegawainya juga sudah ambil maklum berhubung barangan yang ditetapkan KPDNHEP yang boleh dibawa ke luar daripada Malaysia.

Beliau berkata pengendali bot yang membawa tong LPG termasuk barangan bersubsidi lain secara seludup ke negara luar tanpa dokumen kebenaran juga akan ditahan dan dakwa.

“Saya percaya taktik terbaharu penyeludup adalah dengan membawa tong LPG dengan jumlah yang sedikit dan tidak lagi secara pukal. Tapi kita tetap akan tahan bot terbabit untuk pemeriksaan dan jika didapati bersalah, individu itu akan didakwa,” katanya. – SabahNewsToday