Pilih Bahasa

KPI 316 Sabah dilancar, jumlah perjawatan negeri ditingkatkan daripada 1,800 kepada 2,800

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Shafie (kanan) dibantu oleh kakitangan jabatan kesihatan negeri semasa melakukan pemeriksaan tekanan darah ketika melawat pameran jabatan tersebut sempena Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sabah 2018 di Auditorium Utama Pusat Pentadbiran Negeri Sabah. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini melancarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 316 sebagai penetapan pencapaian kerajaan negeri dalam mencapai sasaran yang ditetapkan dengan digerakkan oleh Jabatan Ketua Menteri (JKM) bersama 11 kementerian dan jabatan dibawahnya.

Mohd Shafie berkata selain itu KPI itu juga memetakan fokus dan hala tuju semua kementerian, jabatan dan agensi termasuk pemimpin dalam kerajaan dan penjawat awam agar program yang dirancang benar-benar memenuhi kepelruan dan kehendak rakyat.

“Setiausaha Kerajaan Negeri akan memantau para setiausaha di peringkat kementerian manakala saya juga akan memantau setiap Menteri dalam Kabinet negeri setiap tahun. Menteri pun kena ada KPI.

“Kita juga ada Jawatankuasa Negeri dan Persekutuan untuk membolehkan kita memantau projek pembangunan yang dibiayai oleh kerajaan Persekutuan agar masalah yang timbul dapat ditangani, jangan tunggu hingga berbulan-bulan untuk menyelesaikannya,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sabah 2018 di Auditorium Utama Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya beliau turut menggariskan 10 Bidang Keberhasilan Negeri yang berimpak tinggi dan berupaya melestarikan kemajuan dan kemakmuran rakyat di negeri ini.

Bidang tersebut ialah Jaminan Hak dan Kepentingan Rakyat; Keselamatan, Perpaduan dan Keharmonian Rakyat; Pembangunan Prasarana dan Infrastruktur; Pemilikan Tanah; Pelajaran, Inovasi, Pembangunan Belia dan Sukan.

Bidang lain yang turut digariskan ialah Peningkatan Kualiti Kesihatan Awam dan Kesejahteraan Rakyat; Pelancongan, Perlindungan dan Pemuliharaan Alam Semulajadi; Pembangunan Ekonomi dan Sosioekonomi Setempat; Warisan, Keagamaan, Kepercayaan Etnik dan Institusi Kekeluargaan dan Peningkatan Keupayaan Perkhidmatan Awam.

Mohd Shafie menjelaskan pemantauan berterusan terhadap prestasi kementerian, jabatan dan agensi dalam mencapai 361 KPI itu akan digalas oleh Unit Penyampaian Perkhidmatan (UPP) Jabatan Ketua Menteri.

Katanya unit itu akan memantau dan memastikan setiap sasaran berjaya dicapai dan berupaya memberikan impak kepada kemajuan dan kemakmuran rakyat Sabah.

Mengenai pengupayaan perkhidmatan awam, beliau berkata reformasi melalui langkah `regeneration’ perkhidmatan awam negeri dan penetapan petunjuk prestasi utama didukung oleh tujuh inisiatif.

“Berdasarkan rekod semasa jawatan yang diklasifikasikan dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional perkhidmatan awam negeri mewakili enam peratus daripada jumlah keseluruhan jawatan di kerajaan negeri.

“Oleh itu, kerajaan akan meningkatkan jumlah jawatan kumpulan ini kepada 10 peratus dan mencatatkan pertambahan jawatan dari 1,800 jawatan kepada 2,800 jawatan dalam tempoh lima tahun.

“Peningkatan kapasiti pengawai daripada kumpulan ini membolehkan lebih banyak pemikir strategi, perancang dan golongan profesional menggerakkan misi untuk membangunkan negeri ini. Penambahan itu akan melibatkan kenaikan gred jawatan dan seterusnya mengukuhkan sumber tenaga kerja berprestasi tinggi,” katanya. – SabahNewsToday