Pilih Bahasa

KPI akan jalankan Penguatkuasaan Bersepadu, tangani lori balak lebih muatan

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI) akan menjalankan Penguatkuasaan Bersepadu untuk menguatkuasa undang-undang terhadap penyalahgunaan jalan oleh lori balak lebih muatan.

Pembantu Menteri KPI, Datuk Abd Muis Picho berkata Penguatkuasaan Bersepadu tersebut sudah pasti melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Melalui Penguatkuasaan Bersepadu ini, siapa sahaja melanggar peraturan jalan raya yang ditetapkan akan dibawa ke muka pengadilan.

“Usaha ini adalah untuk meningkatkan penguatkuasaan untuk memastikan lori-lori balak tidak melebihi had muatan yang dibenarkan apabila berada di atas jalan raya kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Masiung Banah (Warisan-Kuamut) berkenaan cadangan kerajaan negeri untuk menubuhkan penguatkuasaan bersama dalam menangani masalah lori balak lebih muatan, di Dewan Undangan Negeri (Dun), hari ini.

Tambahnya setakat ini, pihaknya masih belum mempunyai rekod berkenaan jumlah sebenar individu yang sudah diambil tindakan atas kesalahan berkenaan.

Sementara itu, jelasnya KPI sentiasa mencari keselesaan bersama untuk rakyat dengan menambah laluan Pan Borneo ke persisiran pantai Sabah. -SabahNewsToday