Pilih Bahasa

KPI jadi kayu pengukur pantau kemajuan pertubuhan belia

Oleh Alfred Petrus

Jin Zhe (dua kanan) menyampaikan watikah pelantikan Ketua Kampung, Kampung Kopungit. – Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mengambil pendekatan sewajarnya dalam pengubalan Enakmen Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia sekiranya pengambilalihan pengurusan organisasi dan pertubuhan belia Sabah masih belum matang selepas tempoh transisi pindaan akta pada 2021.

Menteri Belia dan Sukan, Phoong Jin Zhe berkata indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) akan digunakan untuk mengkaji semula dan memantau kemajuan organisasi belia tentang sejauh mana oganisasi atau pertubuhan belia menyesuaikan diri dengan pindaan baharu ini.

“Keputusan ini dibuat setelah mendengar para pemimpin organisasi belia dalam mesyuarat yang diketuai oleh Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) pagi ini.

“Saya menggalakkan semua organisasi belia di seluruh negeri mengasah anggota mereka di bawah 30 tahun untuk mula mengambil peranan kepimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan surat lantikan Ketua Kampung dan Kapitan Cina Kawasan Luyang di Hotel Horizon di sini hari ini.

Jin Zhe (tengah) berbual dengan penerima lantikan Ketua Kampung dan Kapitan Cina bersama Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman (empat dari kiri. – Gambar SNT/Alfred Petrus

Beliau menjelaskan keputusan itu dibuat juga kerana daripada 55.9 peratus pemimpin organisasi belia nasional berumur 30 tahun ke atas, hampir 80 peratus daripadanya menjadi pemimpin dalam organisasi belia di Sabah.

“Ini menunukkan bahawa terdapat perbezaan dalam demografi antara Sabah dan negeri lain yang perlu diambil kira apabila membuat pertimbangan ini terutama dari segi peralihan kepimpinan dan perancangan penggantian.

“Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Malaysia Syed Saddiq mengumumkan pelaksanaan Rang Undang-undang (RUU) ini hanya dilaksanakan pada 31 Disember 2021 yang mana had umur belia diturunkan dari 40 kepada 30 tahun.

“Saya menghargai usaha menteri kerana memahami kebimbangan dan kesulitan yan dihadapi oleh pelbagai pertubuhan dan organisasi belia terutamanya dalam peralihan kepimpinan,” jelasnya.

Jin Zhe berkata organisasi dan pertubuhan belia yang mampu melaksanakan pengambilalihan pengurusan organisasi dan pertubuhan belia berumur 30 tahun ke bawah itu akan diberi insentif oleh kementeriannya sebagai galakan.

“Atas sebab pada masa kini, sebanyak 50 peratus penduduk negeri ini adalah belia, saya yakin organisasi dan pertubuhan belia mempunyai masa yang mencukupi untuk proses pengambilalihan pengurusan.

“Saya bertekad untuk mencari pendekatan bagi membantu pertubuhan belia dalam pengambilalihan pengurusan atau kepimpinan,” tambahnya. – SabahNewsToday