Pilih Bahasa

KPI Sabah cadang tambah lori tangki penuhi keperluan bekalan air setiap daerah

KOTA KINABALU, 9 April (Bernama) — Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI) Sabah bercadang menambah lebih banyak lori tangki sebagai usaha memenuhi keperluan bekalan air di setiap daerah di negeri itu terutama pada musim cuaca panas dan kekurangan hujan berpanjangan.

Menterinya Datuk Peter Anthony berkata lori tangki menghantar bekalan air khususnya di kawasan kritikal pada ketika ini masih tidak mencukupi meskipun kementerian dan Jabatan Air Negeri Sabah telah meminta bantuan serta kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri dan agensi lain.

Peter Anthony – Gambar fail SNT

“Bagaimanapun, lori tangki yang ada masih tidak mencukupi dan kami akan memikirkan pada masa akan datang supaya lori tangki boleh disediakan di setiap daerah bagi memudahkan penghantaran air di tempat tertentu sekiranya ada masalah bekalan.

“Buat masa ini, kami juga akan terus berusaha menghantar air di semua daerah bagi membolehkan penduduk mendapatkan bekalan air secara percuma,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Peter berkata, kementeriannya juga kini sedang membuat perancangan bagi membina tangki penyimpanan air di setiap daerah sebagai alternatif baharu mengatasi masalah kekurangan bekalan air sepanjang cuaca panas dan kekurangan hujan.

Konsep reka bentuk tangki penyimpanan air yang akan dibina itu berupaya menampung keperluan bekalan air untuk jangka masa tiga hingga empat bulan sekiranya berlaku kemarau, katanya.

— BERNAMA