Pilih Bahasa

KPLB akan terus bantu usahawan luar bandar

Oleh Alfred Petrus

Ewon (tengah) melawat ladang ternakan Madu Kelulut. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

SIPITANG: Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan terus membantu para usahawan luar bandar termasuk pengusaha Madu Kelulut untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata ia selaras dengan sasaran kerajaan untuk meningkatkan penyertaan masyarakat luar bandar dalam pelbagai bidang perniagaan seterusnya meningkatkan pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada belia luar bandar.

“Kita tidak mahu para usahawan desa hanya berjaya di peringkat kampung tetapi kita mahu mereka meluaskan pasaran sehingga peringkat antarabangsa dan mampu berdaya saing.

“Semasa mengadakan lawatan kerja di sini kami berkesempatan melawat perusahaan penternakan dan pemprosesan Madu Kelulut Asli Haji Awang (MKAHA) di Kampung Naluyan, Sipitang. Awang merupakan pesara polis yang berkecimpung dalam keusahawanan madu kelulut di bawah Program Bimbingan Usahawan Risda dan Teraju/Sedia. 

“Ahli keluarganya terlibat dalam keusahawanan ini diketuai oleh anak perempuannya, Dayang Arnilah dan turut mengambil pelatih industri daripada Institut Pertanian Timbang Manggaris, Kota Belud.  Saya berharap perusahaan mereka terus berkembang seterusnya menjadi satu lagi contoh kejayaan usahawan kita di luar bandar,” katanya.

Sementara itu Pengurus Syarikat MKAHA Sdn. Bhd., Arnilah Awang Arsad berkata penternakan madu kelulut itu dimulakan pada Disember 2016 dan mula menjual produk madu di bawah jenama MKAHA pada Jun 2017.

Ewon (tengah) mendengar penerangan daripada Arnilah mengenai mesin pemprosesan madu kelulut. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Penternakan madu kelulut dimulakan atas dasar hobi ayah saya setelah bersara dari PDRM dan saya nampak nilai madu ini baik untuk satu perniagaan.

“Sebab itu kami mengembangkan perniagaan ini untuk penjualan madu secara online dan pasaran ke seluruh daerah di negeri ini. Syukur, usaha kami dilihat oleh beberapa agensi kerajaan. Pada 2017, kami mendapat bantuan penternakan dari RISDA dan tahun lalu mendapat bantuan untuk pembinaan bengkel bagi pemprosesan dari Sedia.

“Selain itu saya juga menjadi usahawan bimbingan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) untuk program bimbingan [email protected] (Creating A Millionaire Among Young Women Entrepreneur) selama enam bulan dan graduasi sebagai Alumni pada Disember 2018,” katanya.

Arnilah berkata perancangan masa akan datang ialah memperbesarkan lagi bengkel pemprosesan madu kelulut MKAHA seterusnya mendapatkan pensijilan Mesti & Halal untuk tampil sebagai satu produk yang meyakinkan dan genuine di mata masyarakat.

Katanya lagi antara cabaran untuk memasarkan produk madu kelulut ialah sifatnya yang mempunyai kandungan gas yang tinggi dan agak sensitif dengan suhu 40 hingga 50 darjah celcius yang boleh menganggu logistik produk. 

“Isu ini memberi kekangan dari segi usaha kami untuk meletakkan madu kelulut ini sebagai produk eksport. Namun pun begitu, MKAHA SDN. BHD. sudah menemui jalan penyelesaian dengan wujudnya mesin pengeringan madu untuk mengatasi isu ini dengan bekerjasama dengan Pengkaji Madu Kelulut, Dr. Zulkifli dari Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan. 

“Kami masih dalam tempoh percubaan mesin dan dalam usaha mahu mengeluarkan madu kelulut yang sudah diproses dan dikurangkan kuantiti airnya utk meminimakan keaktifan gas pada madu tersebut,” katanya.

Arnilah berkata penyertaannya dalam industri penternakan madu kelulut bukan sahaja membawa nama syarikat ke peringkat lebih tinggi tetapi membawa platform Komuniti Penternak Kelulut Sipitang sebagai satu jenama seterunya meletakkan industri kelulut ini sebagai satu produk yang sinonim untuk daerah Sipitang. – SabahNewsToday