Pilih Bahasa

KPLB baik pulih kawasan Mesej Binsulok

Oleh Sabah News Today

MEMBAKUT: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam proses membaik pulih semula kawasan Mini Estet Sejahtera (Mesej) Binsulok yang hampir musnah terbakar beberapa tahun lepas.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata ia bermula dengan pembinaan tebatan kebakaran kawasan itu bagi mengelak kebakaran berulang pada masa akan datang.

Ewon (depan dua kanan) ketika melawat perumahan Mesej Binsulok. Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Kebakaran yang berlaku beberapa tahun lalu di kawasan ini memusnahkan hampir 95 peratus kawasan tanaman kelapa sawit projek Mesej Binsulok.

“Sementara menunggu tanaman kelapa sawit yang baru ditanam matang dan mengeluarkan hasil dalam tempoh empat hingga lima tahun, kita sedang mengenal pasti kawasan yang dicadangkan untuk program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) di Mesej Binsulok yang sesuai untuk penanaman nanas atau tanaman lain yang sesuai diperkenalkan di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau pembangunan Mesej Binsulok, kerja-kerja penaiktarafan Fasa Satu jalan masuk menuju ke kawasan itu dan melawat Kilang Mee Kering di Kampung Lumat Membakut, di sini, hari ini.

Terdahulu itu, Ewon diberikan taklimat pembangunan daerah kecil Membakut oleh Penolong Pegawai Daerahnya Awangku Raimy Pg. Abdul Rahman.

Ewon berkata kerja-kerja menaik taraf jalan menghubungkan jalan dari jalan utama Bandau Kuala Penyu ke Mesej Binsulok yang kini dalam pelaksanaan dijangka siap tahun 2021 akan memberi keselesaan kepada penduduk Mesej khasnya dan penduduk sekitar Kampung Ulu Binsulok.

“Dari segi penyediaan bekalan air ke perkampungan Mesej BInsulok, proses tender akan bermula September ini dan saya berharap kontraktor-kontraktor yang dilantik menyiapkan penaiktarafan jalan raya dan projek bekalan air dapat menyiapkannya mengikut jadual yang ditetapkan.

“Begitu juga dengan bekalan elektrik di kawasan perkampungan Mesej, kita akan kemukakan permohonan kepada KPLB Persekutuan agar mereka memberi keutamaan dalam program penyediaan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) bukan sahaja di Mesej Binsulok tetapi Mesej Montenior Beaufort pada tahun ini dan tahun hadapan.

“Pada masa yang sama, saya berharap agar pihak LKTNS sebagai agensi pelaksana Mesej Binsulok dapat menyediakan genset untuk keperluan rumah-rumah kawasan Mesej apabila para peserta mula menduduki rumah Mesej pada awal tahun depan sementara menunggu pembekalan elektrik luar bandar yang disediakan oleh KPLB Persekutuan,” katanya.

Mengenai Program Kampung Sejahtera, Ewon berkata Kampung Tiong Baru Membakut telah dikenal pasti untuk dimasukkan dalam program itu.

“Pemilihan kampung ini berdasarkan beberapa krateria iaitu kampung yang belum ada kelengkapan ameniti sosial yang lain, bekalan elektrik, air dan jalan raya,” katanya. -SabahNewsToday