Pilih Bahasa

KPLB bantu pelbagaikan sumber pendapatan peserta Mesej

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

SEMPORNA: Keperluan memperkasakan aktiviti ekonomi peserta Program Mini Estet Sejahtera (Mesej) di Sabah dengan mempelbagaikan kegiatan mata pencarian mereka kini menjadi fokus utama kerajaan negeri dalam usaha mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Ewon Benedick berkata misi itu boleh dicapai dengan memperkenalkan sumber mata pencarian tambahan di perkampungan Mesej supaya peserta tidak hanya tertumpu dengan satu aktiviti ekonomi.

Ewon (tengah) mendengar penjelasan daripada pengusaha ternakan rumpai laut di Lihak-Lihak Pulau Bum Bum, Semporna. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Tambah beliau lagi usaha itu sejajar dengan objektif kewujudan program Mesej iaitu untuk membantu penduduk yang miskin dan berdaftar e-kasih memperolehi pendapatan tetap sekaligus dapat menyara keluarga mereka.

“Contohnya di Lok Buton, Pulau Bum Bum para peserta Program Mesej yang mengusahakan ternakan rumpai laut turut mengusahkan dua atau tiga lagi pendapatan sampingan dengan hanya menternak rumpai laut.

Mohd Amin Mohd Minin, 17 (kiri) yang membantu keluarganya mengusahakan penternakan rumpai laut menyerahkan tanaman itu kepada Ewon (tengah) semasa lawatan KPLB di kawasan Mesej Lihak-Lihak Pulau Bum Bum Semporna. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

“Dengan adanya lawatan seperti ini kita berupaya dan pada masa sama telah mengemukakan keperluan bajet tambahan kepada kerajaan Persekutuan untuk kita memperkenalkan aktiviti ekonomi tambahan di kawasan Mesej,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau ke kawasan projek Mesej di Lok Buton, Pulau Bum Bum dan melawat perkampungan Mesej Lihak-Lihak, Semporna di sini hari ini.

Ewon (dua dari kanan) dan Setiausaha KPLB, Fredian Gan (dua dari kiri) melihat rumpai laut yang telah dibersihkan dijual oleh para pengusaha sebagai salah satu pendapatan sampingan mereka. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Ewon berkata dalam lawatan itu pihaknya juga telah menerima cadangan daripada peserta untuk memulakan ternakan ikan dalam sangkar dan pelancongan desa di kawasan Mesej mereka.

Katanya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyambut baik cadangan tersebut dan akan memperhalusinya di peringkat daerah dan seterusnya di KPLB.

Mohd Amin Mohd Minin, 17, menunjukkan ternakan rumpai laut di kawasan Mesej Lihak-Lihak yang diusahakan oleh keluarganya di Pulau Bum Bum. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

“Ini aalah tujuan kita mengadakan lawatan dan saya amat yakin kalau mengikut perbincangan selepas kita mengemukakan input kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU), kita telah dimaklumkan ada keputusan yang sangat positif setakat ini bahawa mereka menyokong supaya ditambah atau dibuat bajet baharu untuk perkampungan Mesej.

“Saya berpendapat langkah ini boleh mengangkat pendapatan para peserta Mesej dan berharap ia dapat dilaksanakan bermula tahun depan untuk kita melihat peningkatkan pendapatan para peserta Mesej di seluruh Sabah,” katanya. – SabahNewsToday