Pilih Bahasa

KPLB janji selesai isu Projek Mesej Nala dan Pulau Sakar di Lahad Datu

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

LAHAD DATU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar negeri bercadang memperkenalkan semula aktiviti ekonomi untuk peserta baharu Projek Mini Estet Sejahtera (Mesej) Nala dan Pulau Sakar di daerah ini yang menghadapi masalah meneruskan program itu.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata cadangan memulakan kembali program Mesej di kawasan itu adalah termasuk melaksanakan penambahbaikan terhadap jenis aktiviti ekonomi yang diusahakan oleh bakal peserta.

Datuk Ewon Benedick. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Beliau berkata program dua projek terdahulu itu yang melibatkan keseluruhan peserta seramai 210 orang berada dalam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan atas nasihat keselamatan pejabat daerah perlu memilih tapak baharu.

“Tapak Mesej baharu menggantikan Mesej Pulau Sakar dikenalpasti iaitu di Kampung Bangkuruan, Silam Lahad Datu.

“Dalam isu Mesej Nala pula kita akui ada sedikit masalah berkaitan peserta tetapi perkara ini sedang diambil tindakan oleh Pejabat Daerah Lahad Datu dan Pejabat Daerah Kecil Tungku yang sedang buat pemutihan peserta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar dua taklimat iaitu Pembangunan Daerah Lahad Datu dan Pembangunan Daerah Kecil Tungku oleh Pegawai Daerahnya, Dr Mohammad Ayub Yakub dan Penolong Pegawai Daerah, Firuz Mohd Dzul di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Lahad Datu, di sini hari ini.

Ewon menegaskan pemilihan peserta Mesej perlu melalui tapisan dan memenuhi syarat ketat seperti yang dikhususkan untuk polisi pelaksanaan Mesej sebelum projek itu dilaksanakan semula tahun depan.

Menurut beliau peserta yang terlibat dalam pemutihan tidak akan disenarai hitam, sebaliknya mereka masih layak untuk menerima bantuan program kerajaan selagi berdaftar dengan e-kasih.

“Pada pandangan saya tidak sesuai untuk kita bagi keutamaan kepada peserta (pemutihan) untuk menyertai semula program Mesej seterusnya.

“Kita juga tidak blacklist (senarai hitam) mereka cuma kita bagi peluang kepada keluarga lain dalam e-kasih sebagai peserta baharu yang memenuhi syarat dan benar-benar berminat mengusahakan projek Mesej,’ ujarnya.

Ewon berkata terdapat sebanyak 52 program Mesej di Sabah melibatkan tanaman kelapa sawit, getah, akuakultur dan walit dengan keseluruhan seramai 2,500 peserta seluruh negeri. – SabahNewsToday