Pilih Bahasa

KPLB kemukakan cadangan bajet khas PPRT bagi belanjawan negeri

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah sudah mengemukakan cadangan bajet khas Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) serta Program Khas Utiliti Luar Bandar (Bekalan Air dan Elektrik Luar Bandar) kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah agar dapat dimasukkan dalam Belanjawan Negeri Sabah bermula pada tahun 2020.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata cadangan berkenaan dikemukakan berdasarkan keperluan besar dalam menyelesaikan permasalahan berkaitan rumah PPRT, bekalan air dan elektrik di perkampungan luar bandar selain memenuhi Bidang Keberhasilan Utama Negeri Sabah.

Mantan Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Kota Belud, Junsim Rumunzing (tiga dari kanan) menerima cenderamata daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick (empat dari kanan) pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri serta Seikhlas Budi Sekalung Penghargaan Mantab Pegawai Daerah Kota Belud dan Mantan Penolong Pegawai Daerah Kota Belud di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul-

Ewon berkata pihaknya sudah membuat lawatan di beberapa kampung di luar bandar dan selepas meneliti perincian program sedia ada yang dibajetkan di KPLB Sabah, beliau melihat ada keperluan untuk kementerian mengadakan bajet khas di bawah kerajaan negeri kaitan rumah PPRT serta Program Khas Utiliti Desa iaitu bekalan air dan elektrik alternatif.

“KPLB Sabah juga telah mengemukakan semua input ini kepada UPEN Sabah dan mendapat maklum balas yang positif.

“Berkaitan program rumah PPRT negeri pula, saya akan berbincang lebih lanjut dengan ketua menteri untuk memperincikan perkara ini. Bagaimanapun, saya yakin beliau akan mempertimbangkan semua ini dan seterusnya mengumumkannya dalam pembentangan Belanjawan Negeri Sabah 2020 pada hujung tahun ini.

Mantan Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Gari Itam (lima dari kanan) menerima cenderamata daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick (enam dari kanan) pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri serta Seikhlas Budi Sekalung Penghargaan Mantab Pegawai Daerah Kota Belud dan Mantan Penolong Pegawai Daerah Kota Belud di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul-

“Cadangan ini dilihat akan melengkapkan usaha yang turut sama dibuat oleh kerajaan persekutuan selain suatu penambahbaikan kepada program sedia ada di KPLB Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri serta Seikhlas Budi Sekalung Penghargaan Mantab Pegawai Daerah Kota Belud dan Mantan Penolong Pegawai Daerah Kota Belud.

Dalam pada itu, Ewon berkata cadangan mewujudkan peruntukkan khas utiliti luar bandar Sabah adalah antara lain pembaharuan yang dikemukakan oleh KPLB Sabah selain program sedia ada termasuklah Program Kesejahteraan Rakyat MESEJ, Program Pembangunan Ameniti dan Ekonomi Desa, Program Keusahawanan dan Satu Daerah Satu Industri dan Program Peruntukan Khas ADUN.

Ewon berkata pihak ada mengemukakan cadangan peruntukkan namun masih belum mendapat kata putus daripada pihak berkaitan.

Sementara itu, beliau berharap cadangan program baru di bawah KPLB itu akan diluluskan kerajaan negeri disebabkan ia dilihat dapat membantu lebih ramai golongan memerlukan di negeri berkenaan. -SabahNews Today