Pilih Bahasa

KPLB laksana kursus pengurusan dan pentadbiran MPKK

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melaksanakan Kursus Pengurusan dan Pentadbiran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bermula Jun ini merangkumi kesemua daerah dan kawasan Dewan Undangan Negeri (Dub) di seluruh negeri.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata kursus itu merupakan antara pengisian utama bagi memperkasakan kepimpinan dan urus tadbir MPKK di seluruh Sabah.

Ewon (dua kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil MPKK yang menyertai kursus itu. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Sebagai permulaan, kursus pertama pada penggal ini diadakan bagi kawasan Dun Kadamaian dan akan disusuli oleh daerah Keningau dan Lahad Datu. Pelaksanaannya telahpun dijadualkan merangkumi semua daerah dan kawasan Dun yang mempunyai MPKK.

“Saya berharap kursus ini memberikan manfaat kepada pimpinan MPKK dan mereka boleh mengemas kini profil kampung masing-masing supaya dapat dimasukkan dalam Sistem Digital Profail Kampung kelak.

“Seterusnya, menguruskan permohonan Geran Pembangunan MPKK sebanyak RM10,000 yang disediakan oleh KPLB Persekutuan. Saya berharap kita akan terus terkehadapan dalam hal-hal pembangunan melibatkan MPKK,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan penutupan Kursus Pengurusan dan Pentadbiran MPKK Dun Kadamaian, di Grand Borneo Hotel, hari ini.

Ewon (duduk) tujuh kanan dan Diyanah (duduk enam kanan) merakamkan gambar kenangan bersama peserta kursus berkenaan. Gambar SNT/Alfred Petrus

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian turut menggesa supaya MPKK memberikan kerjasama terbaik kepada Pegawai Daerah Kota Belud, Diyanah Abdullah dalam menguruskan pelaksanaan pembangunan di daerah itu.

“Beliau merupakan satu-satunya Pegawai Daerah wanita di Sabah buat masa ini dan saya mempunyai keyakinan tinggi beliau boleh membantu menguruskan Kota Belud.

“Sebagai inisiatif saya selaku Adun meminta Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah bagi melaksanakan Kajian Pelan Pembangunan Kadamaian, 2020-2035 yang sedang berjalan.

“Saya dimaklumkan, mereka akan mengadakan kunjungan ke Pejabat Daerah Kota Belud pada minggu pertama Julai untuk mendapatkan data-data berkaitan daripada pelbagai jabatan dan agensi,” katanya.

Katanya beliau akan terus berusaha sebaik mungkin menguruskan pembangunan Kadamaian dengan lebih sistematik sepertimana usaha untuk membangunkan kawasan luar bandar di seluruh negeri.

Sementara itu, kursus berkenaan melibatkan taklimat dan ceramah daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk Pejabat Daerah Kota Belud, Jabatan Tanah dan Ukur, Unit Perancang Ekonomi Negeri, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Kebajikan, Jabatan Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia.

Kursus itu bertujuan meningkatkan kefahaman mengenai fungsi, peranan dan tanggungjawab badan MPKK, pentadbiran daerah, pengendalian mesyuarat dan kefahaman mengenai isu-isu keselamatan dan kesejahteraan kampung.

Turut hadir Setiausaha Tetap KPLB Fredian Gan, Setiausaha Rendah (Bahagian Dasar) KPLB Majaran Osman, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian Saikom Watis dan pengerusi-pengerusi MPKK Dun Kadamaian. -SabahNewsToday