Pilih Bahasa

KPLB NEGERI DAN PERSEKUTUAN AKAN URUS KEMUDAHAN AWAM TERJEJAS BANJIR DI KOTA MARUDU

Oleh Chris Maskilone

Datuk Ewon Benedick menyerahkan sumbangan bantuan kepada Pegawai Daerah Arnord Joibie (kiri) untuk diagih-agihkan kepada mangsa banjir di Kota Marudu. Gambar SNT/Chris Maskilone

KOTA MARUDU: Perbincangan terperinci kerosakan kemudahan awam akibat banjir di sini baru-baru ini akan diadakan selepas perayaan Tahun Baru Cina nanti.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick, beliau akan memanggil mesyuarat itu agar kementeriannya dapat berbincang dengan KPLB persekutuan mengenai cara terbaik mengurus masalah tersebut.

“Ini bukan sahaja melibatkan kerosakan yang dialami di daerah Kota Marudu tetapi kawasan lain yang terjejas turut diambil kira,” katanya ketika ditemui selepas mendapat taklimat dan menyerahkan sumbangan bantuan kepada mangsa banjir di Pejabat Daerah Kota Marudu di sini hari ini.

Ewon melihat barang-barang sumbangan yang telah disimpan dalam stor Pejabat Daerah Kota Marudu. Gambar SNT/Chris Maskilone

“Senarai ameniti sosial yang rosak akibat banjir telahpun saya terima semasa taklimat sebentar tadi.

“Walaupun demikian anggaran jumlah nilai kerosakan masih belum diketahui memandangkan banjir baru juga surut,” kata Ewon.

Menurutnya, selepas ini pegawai KPLB akan mula turun padang bagi meninjau dan menilai jumlah kerosakan.

Terdahulu selepas mendapat taklimat daripada Pegawai Daerah Arnord Joibie dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Suzie Salapan, Ewon memberi jaminan bahawa KPLB Sabah dan Persekutuan akan bekerjasama dalam usaha membaikpulih semua ameniti yang terjejas.

“Kita akan melihat kemudahan-kemudahan seperti jambatan gantung, balairaya dan jalanraya desa di bawah KPLB samaada perlu dibina baru  atau diperbaiki.

“Mungkin ini dapat diselesaikan menggunakan peruntukan kecemasan KPLB persekutuan,” katanya.

Jambatan gantung, balairaya, jalanraya desa di bawah KPLB mungkin dapat diselesaikan menggunakan peruntukan kecemasan KPLB Persekutuan

Ewon berkata banjir merupakan bencana yang berada di luar kawalan sesiapa.

“Namun apa yang penting ialah cara bagaimana kita mengurus krisis itu.”

Sementara itu, Ewon berkata selain daripada KPLB, sumbangan hari ini juga datang daripada  Biro Bencana Upko, Pejabat Adun Kadamaian, Kelab WRS, Alumni SK Kiau dan Persatuan Anak Negeri Sabah.

Jawatankuasa Bencana Alam Kota Marudu akan mengurus pembahagian sumbangan barang-barang keperluan kepada mangsa banjir, katanya.

Ewon beserta rombongan kemudian menuju ke Pitas pula untuk menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di sana.-SabahNewsToday