Pilih Bahasa

KPLB perkenal 11 program baharu tahun depan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah memperkenalkan sebanyak 11 program baharu yang akan dilaksanakan pada tahun depan di negeri ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata program tersebut ialah Rumah Sejahtera (RSR), Bekalan Elektrik Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar Alternatif, Aktiviti Ekonomi Tambahan, Mesej Pertanian Bukan Komoditi dan Perusahaan Burung Walit Skala Sederhana, Bimbingan Keusahawan Desa, Kolaborasi Dengan Kementerian Lain, Lawatan Pendedahan Peserta Mesej Ke Mesej Yang Berjaya, Membuka Ladang Mesej Baharu Dengan Tanaman Makanan dan Mewujudkan Pusat Pelancongan Luar Bandar Berasaskan Komuniti (Community Based Tourism).

Datuk Ewon Benedick (dua kiri) dan Datuk Peter Anthony (kanan) sebelum persidangan Dun bermula hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Komuniti kampung juga terlibat dalam penentuan keutamaan projek peningkatan ekonomi, infrastruktur asas di peringkat kampung melalui bengkel yang diadakan di Kampung-kampung Sejahtera.

“Selain daripada itu, kementerian saya juga mempunyai program atau kursus yang melibatkan usahawan kecil di luar bandar khusus untuk meningkatkan kemahiran penghasilan produk, meningkatkan kemahiran dalam pengurusan perusahaan dan meningkatkan kemahiran dalam bidang pemasaran,” katanya pada sesi soal jawab Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada menjawab pertanyaan Julita Mojungki (PBS-Matunggong) sama ada pihak kementerian telah memperkenalkan pendekatan atau program baharu pembasmian kemiskinan dalam kalangan penduduk luar bandar dan sekiranya telah ada libat-urus (engagement) dengan kelompok berkenaan serta pencapaiannya dalam tempoh dua tahun ini.

Di samping itu, Ewon berkata kementeriannya juga telah melibatkan para usahawan untuk mengambil bahagian dalam pelbagai pameran yang bertujuan untuk mempromosikan produk mereka.

Katanya sebuah Pusat Kemahiran Masyarakat (PKM) telah dibina di Kampung Pinawantai, Matunggong dengan sebuah Bengkel Kraftangan Tempurung.

Beberapa bengkel kemahiran turut dibina seperti Bengkel Kraf Tenunan Rungus Kampung Radtak, Bengkel Pemprosesan Pemprosesan Minyak Kelapa Dara dan Bengkel Kosmetik, Pekan Matunggong, Bengkel Pembuatan Gong Kampung Sumangkap, Bengkel Pengumpulan dan Pemprosesan Madu Lebah Kampung Gombizau, Bengkel Kraftangan Ribu-Ribu Kampung Timug, Bengkel Menjahit dan Bengkel Kraftangan Manik di Kampung Tinangol.

Ewon berkata dalam tempoh dua tahun ini para usahawan luar bandar di bawah bimbingan kementeriannya telah mencapai beberapa kejayaan antaranya adalah Anugerah Usahawan Wanita Terbaik yang diraih Zaharinah Masair sempena Karnival Usahawan Desa 2019 di Kota Kinabalu (mencatatkan jumlah jualan tertinggi sebanyak RM55,888.00).

Selain itu Anugerah Pencapaian cemerlang Industri Asas Tani Peringkat Negeri Sabah dimenangi Ronnie Onginjan, dan Norcy Ahiddin iaitu penerima Geran Persijilan GMP dan LGP oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC) sempena Karnival Usahawan Desa 2019 di Putrajaya.

Jelas beliau lagi produk-produk yang dihasilkan oleh para usahawan juga telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti Singapura, China, Perancis dan Brunei Darussalam. – SabahNewsToday