Pilih Bahasa

KPLB Sabah derma van sekolah di perkampung Mesej Bunang 2

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Ewon (tiga dari kanan) menyerahkan replika kunci van sekolah kepada wakil SLDB, iaitu agensi yang mengurus Mesej itu. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

KENINGAU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menyumbangkan sebuah van 18 penumpang untuk kegunaan pelajar dan peserta di perkampungan Mini Estate Sejahtera (Mesej) Bunang 2, di sini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berharap kemudahan itu akan memberikan keselesan kepada para pelajar da peserta Mesej menjalankan aktiviti pada setiap hujung minggu.

“Semasa lawatan ke sini pada tahun lalu untuk program berbuka puasa, saya telah menyatakan komitmen KPLB Sabah untuk membantu mendapatkan sebuah van sekolah.

“Syukur, ia dapat direalisasikan pada tahun ini dan kita akan tambah satu lagi van untuk Mesej ini bagi menampung keperluan penduduk dan pelajar yang semakin bertambah di Mesej ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan van itu di Dewan Mesej Bunang 2 di sini, hari ini.

Ewon memotong riben sebagai simbolik perasmian penyerahan van sekolah untuk Mesej Bunang. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian mahu kemudahan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar Mesej Bunang yang kebanyakannya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bingkor, SMK Keningau, Sekolah Kebangsaan (SK) Minawo dan SK Biah.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan para pelajar supaya menjadikan kesusahan hidup sebagai pendorong dan motivasi untuk terus maju jaya dalam pelajaran.

Mengenai jalan menuju ke Mesej itu, Ewon berkata jalan masuk menuju ke kawasan ini dari jalan utama masih gravel dan KPLB Sabah telah menyalurkan peruntukan menaiktaraf ke jalan konkrit dan kerja-kerja penaiktarafan itu siap sepenuhnya pada Disember lalu. – SabahNewsToday