Pilih Bahasa

KPLB Sabah laksana program Pemantapan Diri buat kali pertama

Ewon bergambar bersama para peserta kursus Pemantapan Diri. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

KUNDASANG: Seramai 38 pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menyertai Kursus Pemantapan Diri selama tiga hari hari dua malam bermula 30 November di Hotel Perkasa Kundasang, di sini.

Perasmian penutupan program anjuran KPLB Sabah dengan kerjasama Institut Latihan Sektor Awam Negeri Sabah (Intan) itu disempurnakan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Dalam ucapannya, Ewon berkata program Pemantapan Diri dalam kalangan pegawai KPLB Sabah merupakan program pertama dalam sejarah kementerian itu dan akan diteruskan pada masa akan datang untuk memberi peluang kepada para pegawai KPLB Sabah yang lain menyertainya.

Ewon (tengah) menyampaikan sijil kepada wakil peserta. Turut kelihatan, Fredian (dua dari kanan), Serbini (kiri) dan Mohd Yasin (kanan). – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

“Program ini menyentuh elemen-elemen berkaitan pembentukan sikap positif dalam kalangan para peserta seperti kebertanggungjawaban, kepentingan kerjasama, komunikasi berkesan, pengurusan yang efisien, kepimpinan dan peningkatan integriti.

“Saya berharap agar semua peserta dapat bersama-sama menyemarakkan lagi rasa kebersamaan dalam kementerian ini dan menyemai unsur-unsur budaya, integriti serta semangat kerjasama dan saling hormat menghormati antara warga KPLB Sabah,” katanya.

Ewon (tengah) bersalaman dengan para pegawai KPLB Sabah yang menyertai Kursus Pemantapan Diri. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

Turut hadir Setiausaha Tetapnya, Fredian Gan; Pengarah Insan, Serbini Jadin; Pegawai Daerah Ranau, Mohd Yassin Ibrahim.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata penjawat awam di semua peringkat jabatan bertanggungjawab meningkatkan integriti.

“Integriti amat penting dalam pekerjaan supaya masyarakat umum percaya dengan perkhidmatan yang diberikan, terutamanya dalam perkhidmatan awam,” katanya. – SabahNewsToday