Pilih Bahasa

KPLB Sabah pastikan semua Mesej capai sasaran basmi kemiskinan

Oleh Sabah News Today

Ewon (kiri) mendengar taklimat ringkas mengenai Mesej Salinatan daripada Alexsius. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

NABAWAN: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah bertekad untuk memastikan semua program Mini Estet Sejahtera (Mesej) di seluruh negeri mencapai sasaran mengeluarkan peserta program itu daripada belenggu kemiskinan.

Sehubungan itu Menterinya Datuk Ewon Benedick mahu semua jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dalam pelaksanaan program Mesej dapat memberikan kerjasama sepenuhnya untuk merealisasikan matlamat kerajaan membasmi kemiskinan penduduk masyarakat luar bandar.

Beliau juga mahu agar pemilihan peserta dapat dimuktamdkan terutamanya untuk ladang Mesej kelapa sawit dan getah yang mulai mengeluarkan hasil.

“Pada hari ini, kita meninjau perkembangan projek tanaman getah di Mesej Salinatan Pensiangan untuk memastikan program ini yang mulai dilaksanakan pada tahun 2012 di bawah KPLB Sabah dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) sebagai agensi pelaksana benar-benar memberikan manfaat kepada para peserta terpilih.

“Keluasan sebenar ladang Mesej adalah 100 hektar namun hanya 67 hektar yang dapat dibuka dan ditanam getah. Setakat ini keluasan tanaman getah yang sudah matang dan boleh ditoreh ialah 10 hektar dengan jumlah tanaman getah 4,068 pokok,” katanya.

Ewon (depan) ketika melawat kawasan Mesej Salinatan. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau Mesej Salinatan, kira-kira 100 kilometer dari Pekan Nabawan, di sini, pada Khamis.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nabawan Datuk Bobbey Suan, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah Fredian Gan, Pegawai Daerah Nabawan Virus Malitam dan Ketua Bahagian Skim,  LIGS Alexsius Modiun.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata melalui pertemuan dan perbincangan bersama penduduk kampung dan LIGS pada majlis itu seramai 20 peserta daripada kalangan penduduk Kampung Salinatan yang tersenarai dalam e-Kasih telah dimuktamadkan.

“Bagi fasa pertama empat peserta akan dipilih sebagai peserta projek di kawasan tanaman getah yang telah matang. Bagi kawasan belum matang, seramai 16 peserta akan dipilih serta diambil lebih awal dan mereka terlibat menyelenggara ladang dan menerima upah daripada LIGS, sementara menunggu sebahagian tanaman getah kawasan itu matang,” katanya.

Ewon melihat peta kawasan Mesej Salinatan yang disediakan LIGS. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

Beliau juga berharap agar, program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) di kawasan Mesej Salinatan dapat dilaksanakan dalam masa terdekat sebagai sumber pendapatan tambahan kepada para peserta.

“Ini kerana bukan semua kawasan Mesej ini sesuai ditanam dengan pokok getah tapi boleh ditanam dengan tanaman pertanian lain yang dapat menjana pendapatan kepada kesemua peserta itu nanti.

“Kita menambahbaik program Mesej melalui pelaksanaan AET di kawasan ini untuk memberi keselesaan para peserta seterusnya meningkatkan pendapatan mereka supaya suatu hari nanti mereka terkeluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya. – SabahNewsToday