Pilih Bahasa

KPLB Sabah peruntuk RM230,000 untuk Kampung Sejahtera Sungai Merah

Ewon (kiri) meneliti isu dan masalah yang dikemukakan penduduk Kampung Sungai Merah. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

LAHAD DATU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menyalurkan peruntukan sejumlah RM230,000 untuk membaiki kemudahan infrastruktur di Kampung Sejahtera Kampung Sungai Merah Tungku, di sini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata daripada jumlah itu sebanyak RM130,000 disediakan untuk bekalan air graviti, pembinaan dua titian konkrit untuk kenderaan (RM70,000) dan selebihnya untuk pembaikan surau kampung itu.

“Kita mengambil maklum masalah dan keperluan yang dikemukakan penduduk kampung semasa Bengkel Pelan Pembangunan Kampung Sejahtera dan peruntukan yang saya umumkan itu adalah sebahagian daripada usaha kita menyelesaikan masalah di kampung ini.

Ewon (kiri) disambut mesra penduduk kampung pada majlis berkenaan. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

“Keperluan lain yang dikemukakan penduduk kampung Sungai Merah termasuk dewan serbaguna, bekalan elektrik, jalan raya, klinik desa, peningkatan ekonomi dan juga isu menganai pendidikan akan diselesaikan secara berperingkat-peringkat.

“Kita tidak dapat menyelesaikan semua keperluan pembangunan yang diperlukan penduduk kampung tetapi program ini merupakan saluran untuk membantu mereka berdasarkan peruntukan yang diberikan kepada Kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika berucap merasmikan penutupan Bengkel Pelan Pembangunan Kampung Sejahtera Kampung Sungai Merah daerah kecil Tungku di sini, hari ini.

Sebahagian daripada penduduk kampung yang hadir dalam penutupan Bengkel Pelan Pembangunan Kampung Sejahtera Kampung Sungai Merah daerah kecil Tungku. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

Ewon yang juga Adun Kadamaian berkata, Kampung Sejahtera adalah program di bawah KPLB Sabah bertujuan untuk membangunkan secara berperingkat kemudahan asas dan sosio-ekonomi di kampung-kampung di luar bandar yang terletak jauh dari kawasan pekan.

“Kita berharap melalui program ini, penduduk Kampung Sungai Merah akan menikmati kemudahan asas dan ameniti sosial serta program sosio-ekonomi daripada agensi-agensi kerajaan,” katanya.

Kampung Sungai Merah terletak sejauh 110 kilmomdari bandar Lahad Datu dipilih sebagai Kampung Sejahtera kerana kampung itu masih berhadapan dengan pelbagai masalah jalan raya dan ketiadaan bekalan air dan elektrik.

Dewan Undangan Negeri (Dun) Tungku mempunyai 37 buah kampung dan Kampung Sungai Merah adalah antara kampung yang bertuah kerana dipilih sebagai Kampung Sejahtera. – SabahNewsToday