Pilih Bahasa

KPLB SABAH SYOR PELAKSANAAN BELB, BALB ALTERNATIF DALAM RP4 RMK11.

Oleh Alfred Petrus

SIPITANG: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah mengemukakan syor pelaksanaan alternatif Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dalam Rolling Plan empat (RP4) di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata syor tersebut adalah antara beberapa input yang telahpun dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan KPLB Persekutuan selain daripada syor berkaitan pelaksanaan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan dan Program Bina Baharu Rumah PPRT.

Ewon ketika melawat perumahan Mesej Banting. Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Syor ini adalah berasaskan kepada dapatan kita bahawa masih begitu banyak kampung-kampung terpencil yang belum mempunyai bekalan elektrik dan jauh daripada sumber grid transmisi elektrik, tetapi kampung-kampung ini mempunyai sumber anak sungai yang boleh kita bangunkan untuk makro-hidro elektrik bagi menjana tenaga elektrik ke rumah-rumah di kampung-kampung tersebut.

“Kita juga maklum permasalahan banyak kampung yang masih bergantung sepenuhnya kepada bekalan air graviti yang tidak dirawat.

“Justeru, syor tersebut adalah memastikan bekalan air graviti terawat dapat dibekalkan kepada setiap isi rumah terbaik membaikpulih sistem perpaipan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja di Mini Estate Sejahtera (Mesej) Banting, Mesej Malalia, perusahaan penternakan dan pemprosesan madu kelulut di Kg Naluyan, Kg Bamban serta Kg Mendulong, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ewon telah diberikan Taklimat Pembangunan Daerah Sipitang oleh Pegawai Daerah, Matlin Dullah.

Ewon (tengah) ketika melawat Mesej Banting Sipitang. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata satu mesyuarat khas akan diadakan di KPLB untuk memperincikan senarai kampung yang akan dicadangkan bagi fasa pertama pelaksanaan, iaitu 10 kampung untuk Alternatif BELB dan 10 kampung lagi untuk Alternatif BALB sepertimana diperlukan oleh KPLB Persekutuan.

“Saya telah dimaklumkan dalam mesyuarat pasca-kabinet KPLB bahawa syor-syor yang kita kemukakan telah diperakukan oleh UPEN dan KPLB Persekutuan.

“Sebelum ini, saya dimaklumkan bahawa KPLB tidak dilibatkan di dalam pengesyoran input-input pelaksanaan Rolling Plan, tetapi selepas kami diberi mandat mengetuai KPLB Sabah, kita mahu mengemukakan senarai-senarai syor mengikut keutamaan dan pandangan yang kita rasakan perlu dimasukkan dalam pelaksanaan Rancangan-Rancangan Pembangunan Kerajaan.

“Saya berterima kasih kerana syor-syor yang telah kita kemukakan pada bulan lepas telah diperakukan,” katanya.

Katanya syor-syor tersebut antara hasil dapatan daripada Retreat KPLB Sabah yang telah diadakan pada awal Februari lepas.

“Syor-syor ini juga amat berkaitan dengan Bidang Keberhasilan Utama dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kerajaan negeri kepada KPLB.

“Saya amat yakin, dengan adanya keharmonian dan kesatuan kerjasama pelbagai agensi/jabatan di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, kita boleh mencapai KPI yang diberikan kepada KPLB Sabah tersebut,” katanya.

Ketika ditanya mengenai lawatan kerja beliau, Ewon berkata program turun padang tersebut akan membantu KPLB Sabah merancang dan membuat keputusan yang lebih baik berkaitan pembangunan luar bandar dengan mendengar taklimat di lapangan, melihat sendiri isu dan cabaran serta mengadakan sesi percambahan minda melibatkan komuniti kawasan luar bandar di kampung-kampung yang dilawati. -SabahNewsToday