Pilih Bahasa

KPLB sasar 10 buah kampung baharu untuk Program Desa Lestari

Bernama

RANAU, 6 Sept  — Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan 10 buah kampung baharu untuk pelaksanaan Program Desa Lestari (PDL) bagi tahun ini melibatkan peruntukan RM10 juta.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata peruntukan yang disalurkan bagi setiap kampung adalah berdasarkan penilaian oleh Jawatankuasa Petugas Pelaksana Desa Lestari.

“Proses pemilihan kampung telah dimulakan sejak Januari tahun ini yang dijalankan oleh agensi di bawah KPLB.

“Proses penilaian dan lawatan tapak telah dilaksanakan di sebahagian negeri yang terlibat dan akan diteruskan di Sabah pada 7 hingga 9 Sept ini,” katanya dalam kenyataan bersempena lawatannya ke PDL di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata sejak PDL diperkenalkan pada 2013 hingga tahun lepas, sebanyak 128 buah kampung telah dipilih dengan jumlah peruntukan sebanyak RM147.4 juta.

 Bagi negeri Sabah dalam tempoh sama, katanya sebanyak sembilan buah Desa Lestari telah dipilih dengan peruntukan berjumlah RM9 juta yang memberi manfaat kepada 43 orang menerusi peluang pekerjaan dan mampu menjana pendapatan sebanyak RM5 juta.

— BERNAMA