Pilih Bahasa

KPLB SASAR SEMUA KAMPUNG LUAR BANDAR NIKMATI AIR BERSIH, ELEKTRIK MENJELANG 2035

Oleh Alfred Petrus

Ewon (kanan) melawat tapak pameran pada Penutupan Program Teras Pembangunan Belia Daerah Kota Belud di Dataran Rez Perdana Paka-Paka. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan semua kampung luar bandar di Sabah bakal menikmati kemudahan bekalan air dan elektrik menjelang 2035.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata kerajaan juga bertekad untuk membina lebih banyak rumah baru Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan menaik taraf jalan-jalan luar bandar yang masih dalam keadaan daif.

“Semua sasaran itu telah dimasukkan dalam 10 Bidang Keberhasilan Utama dan 316 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian yang dilancarkan pada 6 Disember lalu.

Ewon (kanan) bersalaman dengan para peserta pada Penutupan Program Teras Pembangunan Belia Daerah Kota Belud di Dataran Rez Perdana Paka-Paka. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Bagi mencapai sasaran itu, kita perlu merangka pelan strategik selaras dengan keadaan semasa kerana bajet kerajaan negeri dan persekutuan adalah terhad.

“Maka kita mengalu-alukan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat korporat untuk melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi membantu seterusnya melengkapkan usaha kerajaan mencapai sasaran itu,” katanya selepas menyempurnakan majlis Penutupan Program Teras Pembangunan Belia Daerah Kota Belud di Dataran Rez Perdana Paka-Paka di sini hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata Pelan Strategik Pembangunan Luar Bandar Sabah 1998 tidak lagi relevan kepada pendekatan semasa kerajaan negeri pada masa ini.

Ewon (kanan) menyampaikan bantuan peralatan sukan kepada salah seorang wakil persatuan belia akar umbi daerah Kota Belud. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

Oleh itu, jelasnya KPLB kini dalam proses untuk membuat semakan dan mengemaskini pelan strategik itu.

“Saya berharap pengemaskinian Pelan Strategik Pembangunan Luar Bandar Sabah dapat disiapkan dan diumumkan tahun ini.

“Pelan  tersebut telah disediakan oleh Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) pada 1998 dan selepas saya diberi amanah untuk menerajui KPLB Sabah, antara lain yang kita lihat ialah dasar semasa kerajaan dan pelan pembangunan kerajaan.

“Dalam tahun ini, kita akan melancarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar Nasional yang akan diumumkan di peringkat persekutuan. Dasar-dasar itu telah kita semak dan KPLB negeri telahpun mengadakan bengkel untuk memberikan input berkaitan,” jelasnya.

Menurutnya sudah tentu apabila ia dilancarkan, rakyat akan melihat sendiri bagaimana dasar tersebut dapat dilaksanakan.

“Sebab itu kita mengadakan Bengkel Hala Tuju KPLB Sabah baru-baru ini, untuk menyemak Pelan Strategik Pembangunan Luar Bandar Sabah yang telah dibuat 21 tahun lalu dan sememangnya ada keperluan kita untuk mengemaskinikannya,” katanya. – SabahNewsToday