Pilih Bahasa

KPLB usaha lahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing

Ewon (duduk tengah) bergambar bersama pegawai-pegawai kanan KPLB Sabah dan para peserta kursus. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan terus berusaha melahirkan lebih ramai usahawan luar bandar yang berjaya dan berdaya saing.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata setakat ini seramai 61 usahawan luar bandar di bawah Program Bimbingan Usahawan KPLB Sabah berjaya menubuhkan perniagaan dan mempunyai produk masing-masing antaranya produk kraftangan, makanan, kosmetik, kesihatan dan lebah madu.

Beliau berkata daripada jumlah itu empat usahawan yang mengusahakan produk minyak kelapa dara dan kosmetik berasaskan abalone berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

“Bukan mudah untuk memasarkan, mempromosi dan mengangkat jenama sesuatu produk yang baru di pasaran misalnya, produk kosmetik kerana mereka terpaksa bersaing dengan produk-produk kosmetik lain sedia ada di pasaran.

“Begitu juga dengan produk kraftangan dan makanan yang diusahakan oleh usahawan KPLB Sabah. Saya percaya dengan adanya kesungguhan dan inisiatif untuk memajukan perniagaan serta sokongan berterusan daripada KPLB Sabah, saya pasti usahawan-usahawan luar bandar juga akan mencipta nama sebaris dengan ushawan lain sedia ada di negara ini,” katanya.

Ewon (tengah) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penutupan Kursus Peningkatan Pengurusan Perniagaan Keusahawanan Dibawah Bimbingan KPLB Sabah, di Zara Hotel, di sini hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri KPLB, Dumi Pg Masdal; Setiausaha Tetapnya, Fredian Gan; Ketua Penolong Setiausaha, Seksyen Keusahawanan Industri Desa (KID), Felicia Sindan dan Pengurus Intellect Training & Services Norazman Utoh Nain.

Kursus selama tiga hari bermula 4 November itu disertai 40 usahawan luar bandar yang mengusahakan pelbagai produk termasuk makanan, kraftangan, kosmetik dan homestay dari seluruh Sabah.

Ewon (tiga dari kiri) menerima cenderahati daripada Fredian. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi menyediakan bantuan pinjaman kewangan untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan antaranya Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Berhad (SME Bank) dan Agrobank Malaysia.

“Oleh itu saya menyeru usahawan-usahawan luar bandar supaya merebut peluang yang ada untuk memajukan lagi perusahaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, bagi KPLB Sabah, kementerian itu mempunyai lima bangunan Pusat Keusahawanan Desa (PKD) iaitu di Kudat, Pitas, Matunggong, Beluran dan Keningau. – SabahNewsToday