Pilih Bahasa

KPM terus komited bantu kanak-kanak tanpa dokumen peroleh pendidikan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Maszlee ketika Sesi Town Hall Bersama Warga Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Sabah di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ Ihsan UMS

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan sentiasa komited membantu golongan kanak-kanak tempatan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri memperoleh pendidikan.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata seramai 2,635 kanak-kanak tanpa dokumen sudah mendaftarkan diri bagi mengikuti sesi persekolahan di seluruh negara.

“Menerusi jumlah ini lebih 1,000 adalah kanak-kanak tanpa dokumentasi daripada Sabah. Semua kanak-kanak ini ialah warganegara namun mereka tiada memiliki pengenalan diri disebabkan beberapa faktor tertentu.

“Hakikatnya, mereka layak memperoleh pendidikan formal seperti orang lain.

“Kita bukan hanya membuka kemasukan sekolah kepada golongan ini tetapi menolong mereka mendapatkan dokumentasi diri masing-masing,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Sesi Town Hall Bersama Warga Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Sabah di sini, hari ini.

Maszlee ketika Sesi Town Hall Bersama Warga Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Sabah di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan UMS

Turut hadir Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri, Datuk Dr Yusof Yacob dan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin.

Berlangsung di Dewan Canselor UMS, sesi berkenaan dihadiri kira-kira 5,000 warga IPT termasuk mahasiswa, mahasiswi dan ahli akademik.

Terdahulu, ketika sesi town hall berkenan Maszlee meminta kerajaan Sabah mengambil seramai mungkin pelajar UMS untuk menjalani latihan amali di jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau menyatakan isu sekolah daif di seluruh negara juga antara perkara harus diselesaikan terlebih dahulu termasuk di Sabah sebelum pendidikan percuma dilaksanakan.

Maszlee ketika sidang media selepas Sesi Town Hall Bersama Warga Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Sabah di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Sementara itu, ditanya mengenai isu pelantikan Prof Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) baharu, Maszlee tidak mengulas panjang perkara itu dan hanya menyatakan keputusan rasmi sudah dibuat oleh semua pihak berkenaan.

“Keputusan mengenai perkara ini sudah dibuat oleh jawatankuasa pemilih serta ahli lembaga pengarah USM secara rasmi,” katanya.

Pelantikan Profesor Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan selaku Naib Canselor USM berkuat kuasa Jumaat ini hingga 3 Oktober 2022.

Beliau menggantikan Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Asma Ismail yang memegang jawatan itu sejak 4 Oktober 2016. – SabahNews Today