Pilih Bahasa

KPM turun kuasa kepada JPN Sabah, Sarawak laksana kerja selenggaraan

Teo Nie Ching – Gambar Bernama

KUALA LUMPUR, 24 Okt — Kementerian Pendidikan (KPM) telah melaksanakan kaedah baharu penurunan kuasa kepada Jabatan Pelajaran Negeri Sabah dan Sarawak pada Ogos lalu, untuk memperbaiki dan menaik taraf sekolah-sekolah di negeri berkenaan.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata langkah itu dijangka dapat mempercepatkan kerja-kerja pembaikan dan menaik taraf sekolah di kedua-dua negeri, sekali gus meningkatkan tahap pencapaian akademik pelajar.

“Pada Ogos, kita telah beri kuasa pemilihan kontraktor bagi setiap projek di bawah Lembaga Perolehan Persekutuan Sarawak.

“Selain ada wakil KPM, wakil pembendaharaan dari Kementerian Kewangan, had nilai dan kuasa Lembaga Pengembangan Pendidikan (LPP) juga sudah ditingkatkan daripada RM30 juta kepada RM40 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan daripada Yamani Hafez Musa (PH-Sipitang) berkenaan langkah proaktif jangka panjang yang diambil kerajaan untuk memastikan keseimbangan sekolah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Bagi Sabah, Teo menjelaskan satu jawatankuasa tender khas peringkat negeri, yang dipengerusikan Setiausaha Negeri Sabah dan dianggotai wakil daripada KPM, Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya, telah diwujudkan bagi mengurus tender dan projek pemulihan aset KPM di negeri itu.

Bagaimanapun, katanya pelaksanaan projek masih bergantung dan tertakhluk kepada Arahan Perbendahaarn 182 yang menyatakan bahawa pelaksanan projek pembangunan di bawah KPM dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKT).

Teo menjelaskan, KPM sentiasa berusaha memberikan perhatian kepada sekolah yang memerlukan kerja penyelenggaraan serta naik taraf kemudahan institusi pendidikan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Pada tahun ini, KPM menyalurkan RM27.4 juta kepada Jabatan Pendidikan Sabah dan RM16.6 juta kepada JPN Sarawak bagi mengekalkan fungsi aset yang ada selain untuk kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala dan penyelenggaraan pembaikan.

— BERNAMA