Pilih Bahasa

Krisis politik ujian kepada pemimpin – Dr Yusof

Oleh Sabah News Today

Dari kiri, Hashim, Wendy, Pangiran, Dr Yusof, Mohd Kassim dan Lahirul merakamkan kenangan selepas menandatangani akujanji pada majlis perjumpaan khas ADUN Sindumin bersama kepimpinan parti komponen kerajaan negeri bagi Parlimen Sipitang. – Gambar SNT/Ihsan KP&I

SIPITANG: Krisis politik yang berlaku di mana-mana menjadi ujian kepada sifat dan sikap kepimpinan seorang pemimpin, justeru mereka perlu bijak menanganinya demi kepentingan rakyat bukan atas kepentingan peribadi.

Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Dr Yusof Yacob berkata pemimpin yang gagal mempertahankan halatuju perjuangan kepimpinan sebenar akhirnya akan mendatangkan musibah kepada seseorang pemimpin itu sendiri

“Sebagai pemimpin, kita perlu belajar dan mengambil iktibar daripada sejarah kepimpinan yang lalu. Kita sendiri dapat saksikan bagaimana kesudahannya apabila sifat kepimpinan yang negatif sehingga sanggup membelakangkan kepentingan rakyat untuk kepentingan diri,” katanya.

Upacara ikrar oleh semua pemimpin yang hadir pada majlis perjumpaan khas Adun Sindumin bersama kepimpinan parti komponen kerajaan negeri bagi Parlimen Sipitang. – Gambar SNT/Ihsan KP&I

Dr Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin itu berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan khas Adun Sindumin bersama pemimpin parti komponen Kerajaan Negeri Sabah di Dewan Serbaguna di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Perhubungan Parti Amanah Negeri Sabah, Lahirul Latigu; Ketua Upko Bahagian Sipitang, Datuk Pangiran Lalung; Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sipitang, Wendy Agung Baruh dan Pengerusi Penyelaras Parti Amanah Negara (Amanah), Hashim Daris.

Majlis yang dihadiri kira-kira 2,000 pemimpin pelbagai peringkat itu turut menyaksikan pembacaan ikrar taat setia yang kemudiannya ditandatangani bersama oleh ketua-ketua parti komponen kerajaan negeri bagi Parlimen Sipitang.

Dr Yusof (tengah) menandatangani Akujanji sambil disaksikan Wendy (kiri), Pangiran (dua kiri) dan Lahirul (kanan) dan Mohd Kassim. – Gambar SNT/Ihsan KP&I

Dr Yusof juga juga Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah turut memberi keyakinan bahawa pergolakan politik di Semenanjung tidak menggugat kerajaan negeri berbanding beberapa negeri yang lain.

“Saya berharap semua peringkat kepemimpinan masyarakat kerajaan negeri teruskan bekerja dan tunaikan tanggungjawab dengan komited demi kepentingan rakyat,” katanya. – SabahNewsToday