Pilih Bahasa

Kritikan tidak jejas usaha kerajaan tangani isu pendatang tanpa izin: Ketua Menteri

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Shafie (tengah, duduk) ketika menjawab soalam media sambil diperhatikan oleh Mohamaddin (kiri) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Mohd Hashim Paijan (kanan) serta rombongan Aswara di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah. – Gambar SNT/Ihsan JKM

KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan hari ini terus berusaha menyelesaikan isu berkaitan pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah meskipun sering menerima hambatan dan kritikan pelbagai pihak di media sosial.

Menurut beliau apa yang dilakukan oleh kerajaan dengan pengeluaran Pas Sementara Sabah (PSS) bermula pada 1 Jun tahun depan bertujuan memastikan pengurusan dokumentasi rakyat asing yang mahu bekerja di negeri ini dilakukan dengan baik.

“Urusan pengeluaran PSS kepada pekerja asing adalah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) manakala kerajaan negeri hanya membantu melancarkan pengurusannya, namun sebelum usaha ini kita lakukan sudah ada pandangan negatif.

“Sekurang-kurangnya kerajaan hari ini cuba untuk menyelesaikan isu ini dengan memastikan pekerja asing bekerja secara sah di negeri ini (kerajaan) yang dahulu cakap sahaja… tidak ada usaha untuk menyelesaikan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Terdahulu Mohd Shafie menerima kunjungan hormat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi bersama rombongan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sebuah laman web change.org oleh Rakyat Tulen Sabah yang membuat petisyen mengatakan tidak kepada PSS.

Mohd Shafie (kiri) berbual bersama Mohamaddin (tengah) serta rombongan Aswara yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah. – Gambar SNT/Ihsan JKM

Katanya kerajaan negeri tidak akan mendengar komen daripada pihak yang tidak memainkan peranan sebaliknya akan berusaha membantu kerajaan Pusat menyelesaikan isu pekerja asing di Sabah.

“Kita sebagai pentadbir perlu memainkan peranan mengurus tadbir masalah dokumentasi pekerja asing agar mereka bukan sahaja bekerja secara sah tetapi kita mempunyai data sekaligus mengetahui keberadaan mereka di Sabah.

“Bila saya dimaklumkan mengenai pembangunan Kalimantan dalam jangka masa 2024 bahawa mereka akan bina pusat pentadbiran di Ibu negara baharu Indoensia itu, kemungkinan besar ramai rakyat Indonesia yang berada di Sabah akan balik ke negara asal mereka.

“Lepas itu kita mahu cari pekerja (kalau tidak ada pekerja) kita bakal hadapi masalah di sektor perladangan dan pembinaan,” ujarnya.

Tambah beliau sektor pelancongan, hartanah dan perladangan memerlukan tenaga kerja untuk memastikan pembangunan negeri ini berjalan lancar.

Katanya isu penghantaran PTI tidak timbul kerana kerajaan negeri menghantar pulang setiap tahun warga asing ke negara asal masing-masing dan mereka hanya dibenarkan masuk semula ke negara ini dengan syarat perlu memiliki dokumen sah. – SabahNewsToday