Pilih Bahasa

Kronologi pemuliharaan badak sumbu Sumatera di Sabah

KOTA KINABALU, 23 Nov — Hari ini (Sabtu) Malaysia bersedih atas pemergian Iman, spesies terakhir badak sumbu Sumatera di Malaysia, yang secara rasmi pupus.

Usaha untuk memastikan kelangsungan spesies in di Sabah bermula pada 1980-an dengan beberapa badak ditangkap untuk tujuan pembiakan.

Iman mati pada jam 5.35 petang Sabtu (23 Nov) akibat masalah kesihatan. Gambar ini diambil pada 18 Ogos tahun ini semasa Christina Liew membuat lawatan ke Tabin. Gambar SNT/Ihsan Kementerian Pelancongan

Pada 2015, spesies badak sumbu Sumatera yang hidup secara liar pupus berikutan kematian badak sumbu betina dikenali sebagai Gelogob pada 2014.

Hanya terdapat tiga badak dalam kurungan ketika itu.

Berikut adalah kronologi badak sumbu Sumatera atau nama saintifiknya, Dicerorhinus sumatrensis atau dalam kurungan yang dilaporkan di Sabah:

1987 – Linbar, badak jantan, ditangkap di Lower Segama, tetapi mati akibat kecederaan dalaman pada tahun yang sama.

1987 – Tenegang, badak jantan, ditangkap, tetapi mati di Pusat Pembiakan Badak Sumatera di Sepilok pada 1992.

1988 – Lokan, badak jantan, ditangkap, tetapi akhirnya mati dalam lubang perangkap pada tahun sama.

1989 – Lun Parai, badak betina, ditangkap dan berjaya mencari pasangannya, tetapi gagal untuk bunting. Ia mati di Sepilok pada 2000.

1991 – Tekala, badak jantan, ditangkap, tetapi mati berikutan jangkitan tetanus di Sepilok pada 1997.

1992 – Sidom, badak jantan, ditangkap tetapi mati di Sepilok pada 1997 dan gagal untuk mencari pasangannya.

1993 – Bulud, badak jantan, ditangkap dan dikurung di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin, di Lahad Datu tetapi melarikan diri tidak lama kemudian. Bagaimanapun, kelibatnya dilihat pada 1995 tidak jauh dari Tabin.

1993 – Tanjung, badak jantan, ditangkap dan dikurung di Sepilok, tetapi mati selepas dihempap dahan pokok pada 2006.

1995 – Malbumi, badak jantan, ditangkap tetapi mati di Sepilok pada 1997.

1994 – Gelogob, badak betina, adalah badak betina paling lama dikurung. Usaha untuk membuntingkannya bermula pada 1995, tetapi gagal. Gelogob mati di Taman Hidupan Liar Lok Kawi pada 2014.

2008 – Kertam atau dikenali sebagai Tam, ditangkap di ladang kelapa sawit di Kertam, yang ia mendapat namanya. Bagaimanapun, ia mati pada Mei tahun ini disebabkan kerosakan buah pinggang. Sampel spermanya dan sel-sel lain diambil untuk cryopreservation.

2011 – Puntong, badak betina, ditangkap dan dikurung di Tabin, tetapi ia mati susulan diberi suntikan menerusi operasi euthanasia pada 2017 selepas menderita barah sel skuamus atau barah kanser kulit.

2014 – Iman, badak betina, dikurung di Lembah Danum. Sejak ia ditangkap tiada kesan badak Sumatera yang ditemui hidup secara liar.

Disebabkan keadaan kritikal dalam meningkatkan bilangan spesies badak sumbu di Sabah, pada awal Ogos tahun ini, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata kerajaan negeri mencapai persetujuan dengan kerajaan Indonesia di Jakarta untuk memeterai memorandum persefahaman pada tahun ini mengenai pemuliharaan badak Sumatera.

Christina memberi makan kepada Iman. Gambar SNT/Ihsan Kementerian Pelancongan

Pada 15 Okt, selepas usaha membiakkan telur atau ovum Iman dengan sperma atau benih yang diambil daripada Tam gagal, Liew berkata Sabah berharap Indonesia akan membantu menyediakan sperma baharu badak sumbu dan akan terus meminta sokongan Indonesia untuk menyelamatkan spesies itu daripada kepupusan.

Pada 20 Nov berikutan kesihatan Iman yang semakin merosot, Liew berkata kerajaan negeri akan menyegerakan proses undang-undang dengan Indonesia untuk menjalankan usaha persenyawaan melibatkan ovum Iman dan penderma sperma badak Sumatera di Indonesia.– BERNAMA