Pilih Bahasa

KRT RAPATKAN SEMANGAT PERPADUAN

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Johair (tengah) bersama ahli jawatankuasa KRT baharu Kampung Kebatu Kebidang. – Gambar SNT / Ehsan KRT Kg Kebatu

BEAUFORT: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) memainkan peranan penting dalam mewujudkan dan mengekalkan keharmonian serta perpaduan sejagat dalam masyarakat.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kawasan Klias, Johair Matlani berkata oleh itu KRT disaran agar lebih aktif menjalankan program diperingkat akar umbi di kawasan masing-masing.

Tegas beliau yang juga Ketua Wanita Parti Warisan Sabah (Warisan), tugas itu penting bagi memastikan semangat kekitaan dalam masyarakat sentiasa terpelihara ekoran perubahan zaman digital yang memberi kesan terhadap hubungan dalam masyarakat.

“KRT harus merangka keadah pemerkasaan perpaduan di peringkat komuniti seiring dengan perubahan zaman digital yang telah mengubah landskap kehidupan harian.

“Setiap KRT yang diwujudkan perlu merangka dan melaksanakan program yang boleh membentuk budaya kerja berpasukan selari dengan peranan KRT, barulah perpaduan dapat dicapai,” katanya ketika berucap merasmikan pembentukan jawatankuasa baharu KRT Kampung Kebatu, Kebidang di sini hari ini.

Tambah Johair bagi membantu KRT menjalankan aktiviti, kerajaan turut menyediakan geran tahunan bagi membiayai program yang dianjurkan oleh KRT.

Katanya geran itu diharap dapat memberikan perangsang kepada KRT untuk bergiat aktif menjalankan aktiviti di peringkat komuniti. – SabahNewsToday