Pilih Bahasa

KTYS perlu terus relevan tawar kursus diperlukan industri

KOTA KINABALU, 25 Nov — Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS) terus relevan dalam menyediakan kursus yang sesuai dengan permintaan industri  agar pelajar mendapat kemahiran dan memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian.

Usaha itu termasuk menjalin kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dan Persekutuan serta swasta, katanya ketika menyempurnakan Majlis Konvoksyen KTYS di sini, hari ini, yang membabitkan 258 pelajar menerima diploma dan sijil.

Ditemui pemberita selepas majlis itu, beliau berkata program yang ditawarkan di KTYS antaranya berkaitan automatif selari dengan usaha kerajaan negeri menyediakan sumber tenaga kalangan belia di negeri ini bagi keperluan industri.

Katanya industri automatif antara yang diberikan tumpuan oleh kerajaan negeri bukan sahaja untuk menjana ekonomi negeri ini malah dalam menyediakan peluang pekerjaan.

Mohd Shafie berkata pada minggu depan, beliau akan melakukan lawatan kerja ke Jepun untuk meninjau industri di negara itu khususnya berkaitan automotif kenderaan, yang  merupakan usaha menarik pelabur dari Jepun ke Sabah  selain menyediakan perusahaan yang mampu memberi peluang pekerjaan.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pengarah KTYS Sdn Bhd Datuk Jame Alip dalam ucapannya berkata fokus utama yang menjadi agenda capaian KTYS adalah dalam bidang teknikal seperti automotif, binaan bangunan, elektrikal, penyamanan udara dan kimpalan.

Katanya turut ditawarkan adalah kursus berkaitan kemahiran dalam bidang hospitaliti dan pelancongan yang kesemua program itu merupakan bidang serta kepakaran yang relevan dalam pasaran kerja masa kini. 

Pada masa sama, Jame berkata KTYS sedang menyemak semula semua kursus sedia ada sama ada masih relevan atau menambah kursus baharu demi memenuhi era Industri 4.0. 

— BERNAMA