Pilih Bahasa

Kuarantin wajib bagi yang balik dari luar negara/luar negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memutuskan untuk menyekat semua perjalanan di sempadan Malaysia-Indonesia sebagai langkah menangani penularan wabak Covid-19 berkuatkuasa serta-merta.

Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Sabah COVID-19 Command Centre (SC19CC) Datuk Safar Untong berkata keputusan dibuat selepas mesyuarat SC19CC di sini hari ini.

Datuk Safar Untong. – Gambar SNT/Ihsan JKM

Sekatan itu akan dibuat di pintu-pintu masuk iaitu:

(i) Pulau Sebatik – Tawau – Pulau Sebatik;
(ii) Serudong – Simanggaris – Serudong; dan
(iii) Bantul Labang – Pagalungan – Bantul Labang

Bagaimanapun, penghantaran barangan keperluan harian dengan jumlah bot serta krew yang minima di jeti-jeti yang dibenarkan beroperasi oleh Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dikecualikan daripada sekatan ini.

Kelmarin, turut diumumkan bahawa operasi harian kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Sindumin-Merapok (sempadan Sabah-Sarawak) dipendekkan empat jam iaitu dari 6pagi sehingga 8malam sahaja berbanding sebelum ini dari 6pagi hingga 12 tengah malam.

Selain itu, mesyuarat SC19CC turut memutuskan semua orang awam atau pelajar yang balik dari luar negara atau Semenanjung Malaysia dan Sarawak sama ada telah ataupun belum menjalani saringan di lapangan terbang semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat-pusat kuarantin yang disediakan.

Menurut Safar, demi memastikan Pusat Kuarantin yang sedia ada dapat menampung keperluan dan mengelakkan kesesakan, Kerajaan Negeri memutuskan untuk mewartakan tiga lokasi baharu sebagai Pusat Kuarantin Sementara COVID-19 seperti berikut:

(i) Masjid Jamek, Kota Belud;
(ii) Plasma MPOB, Lahad Datu; dan
(iii) Felda Resident Sahabat, Lahad Datu.

Ujar beliau lagi, Kerajaan Negeri memutuskan untuk menghadkan penerbangan domestik ke destinasi berikut:

(i) Kota Kinabalu – Tawau – Kota Kinabalu;
(ii) Kota Kinabalu – Sandakan – Kota Kinabalu;
(iii) Kota Kinabalu – Lahad Datu – Kota Kinabalu; dan
(iv) Kota Kinabalu – Sandakan – Tawau – Kota Kinabalu.

“Kerajaan Negeri juga memutuskan bahawa semua penumpang adalah diwajibkan untuk menjalani saringan kesihatan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di lapangan terbang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, pemilik perniagaan yang menawarkan perkhidmatan layan diri seperti bank, hotel, stesen minyak dan sebagainya adalah bertanggungjawab untuk memastikan pengguna/pelanggan masing-masing dilindungi daripada penularan wabak COVID-19.

“Kerajaan Negeri memutuskan supaya mana-mana premis dan kemudahan
yang memberi perkhidmatan layan diri kepada orang awam diarah untuk menyahkuman kemudahan seperti mesin ATM, lif hotel, Button Nozzle dan lain-lain kemudahan secara berterusan oleh pemilik dengan sendirinya bagi
memastikan jangkitan virus COVID-19 dapat dibendung sepenuhnya,” katanya.-SabahNewsToday