Pilih Bahasa

Kuasai evolusi teknologi maklumat: Dr Yusof

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Yusuf (enam dari kanan) menerima cenderamata daripada Karen (tujuh dari kanan) pada Majlis Pelantikan dan Makan Malam Tahunan SCS 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Masyarakat perlu memantapkan penguasaan ilmu kemahiran mereka dalam teknologi maklumat seiring dengan kemajuan negara pada masa kini.

Menteri Pendidikan dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob berkata masyarakat khususnya generasi muda harus mengikuti evolusi teknologi maklumat terbaharu agar mereka tidak ketinggalan dengan masyarakat di negara lain.

“Suka atau tidak kita mesti memiliki pengetahuan berkaitan komputer serta teknologi disebabkan hampir semua urusan seharian dipengaruhi oleh kecanggihan teknologi.

“Jika sebelum ini kita perlu ke stesen atau menunggu lama di perhentian bas untuk menaiki perkhidmatan awam namun kini semua melalui aplikasi dan sudah mampu menggunakan perkhidmatan Grab, MyCar serta terbaru Borride,” katanya.

Yusuf menurunkan tandatangan pada carta organisasi barisan Majlis Eksekutif SCS 2019-2020 sebagai simbol perasmian Majlis Pelantikan dan Makan Malam Tahunan SCS 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelantikan dan Makan Malam Tahun Persatuan Komputer Sabah (SCS) 2019 di sini semalam.

Majlis itu dihadiri Presiden SCS, Karen Wong dan Pengerusi Penganjur, Kon Yuk Thiam. Dalam majlis sama turut diumumkan barisan Majlis Eksekutif SCS bagi tahun 2019-2020.

Dr Yusof berkata menerusi konsep teknologi sama juga orang ramai sudah boleh membuat pesanan makanan kegemaran secara atas talian dengan adanya aplikasi seperti Foodpanda, GrabFood dan sebagainya.

“Melihat kecanggihan ini, mungkin suatu hari nanti penggunaan tenaga manusia yang digunakan untuk menghantar makanan atau pemandu sistem e-hailing kelak turut digantikan menggunakan robot serta dron,” katanya.

Dalam pada itu Dr Yusof memuji persatuan berkenaan yang sering menganjurkan pelbagai program berkaitan teknologi computer.

Sehubungan itu beliau berharap SCS dapat meneruskan aktiviti persatuan malah mahu organisasi itu menambah pelbagai program baharu agar dapat disertai golongan di negeri terbabit.  – SabahNews Today