Pilih Bahasa

Kudat julang Piala Menteri KBSS

SANDAKAN: Kudat menjuarai Kejohanan Bola Tampar Bawah 20 Tahun Piala Menteri Belia dan Sukan Sabah 2019 yang berakhir di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Sandakan pada Ahad.

Kudat bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan Semporna dalam perlawanan akhir yang sengit dan ditentukan pada set terakhir.

Pasukan Kudat bergambar selepas menerima hadiah dan Piala Menteri Belia dan Sukan. Gambar SNT/Ihsan MSN

Perlawanan berkesudahan 25-19, 21-25, 20-25, 25-18 dan 15-11 mata.

Tempat ketiga disandang oleh pasukan daerah Beluran selepas mengalahkan pasukan tuan rumah Sandakan dengan straight set 25-23 dan 25-20 mata.

Dalam aksi separuh akhir, Kudat mengenepikan cabaran Sandakan menerusi keputusan
25-18 dan 25-22 mata, manakala Semporna menundukkan Beluran menerusi set tambahan berkesudahan 25-21, 19-25 dan 15-7 mata.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Phoong Jin Tze dalam ucapan perasmian berkata program pertandingan seumpama itu baik dalam usaha menarik penglibatan belia dari seluruh negeri Sabah untuk terlibat dalam aktiviti yang sihat.

“Usaha seperti ini sudah tentu mampu melahirkan pemain berkaliber yang dapat membawa cabaran Sabah ke kejohanan kebangsaan,” jelas beliau dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Parlimen P186 Sandakan; Amsi Liew.

“Saya dimaklumkan bahawa kejohanan ini merupakan persediaan daerah-daerah untuk menghadapi Sukan Sabah (SAGA) yang akan berlangsung di Keningau pada November hadapan.

“Dalam masa yang sama, program seperti ini merupakan wadah untuk memupuk budaya bersukan di kalangan belia kita. Pendedahan seperti ini perlu dilaksanakan berterusan supaya impaknya nanti dikecapi dan seterusnya dapat meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup masyarakat,” tambah Phoong.

“Saya menyokong penuh penganjuran program-program seperti ini dan seharusnya mendapat penyertaan semaksima yang mungkin dari semua daerah. Ini kerana, program yang dianjurkan bukan sahaja menguji kekuatan mental dan fizikal, malah dapat memupuk sifat kerjasama, selari dengan usaha kita memartabatkan sukan bola tampar.

“Justeru, harapan saya agar Persatuan Bola Tampar Negeri Sabah (PBTNS) dapat meneruskan lebih banyak aktiviti-aktiviti sebegini untuk membentuk satu pasukan negeri yang kuat dan mampu memenangi pingat di kebangsaan,” tegas beliau.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS) Dr. K.H. Tan dengan disaksikan oleh Yang DiPertua PBTNS Datuk Alipudin Haji Puyon dan Penolong Pegawai Pembangunan Sukan, Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah; Mohd Rezwan Osman serta ahli majlis tertinggi persatuan.-SabahNewsToday